UMNO Rakam Takziah, Ahli Parlimen Gerik Meninggal Dunia

KUALA LUMPUR, 16 Nov – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bersama seluruh kepimpinan UMNO merakamkan ucapan takziah kepada ahli keluarga Ahli Parlimen Gerik Datuk Hasbullah Osman yang meninggal dunia di Raub, Pahang petang ini.

Dilaporkan Allahyarham Hasbullah, 63, tidak sedarkan diri susulan serangan jantung ketika berada di dalam kereta semasa di kampung isterinya di Raub.

Allahyarham yang juga Ketua Bahagian UMNO Gerik, kemudian dikejarkan ke Hospital Raub sebelum disahkan meninggal dunia kira-kira jam 7 malam.

Jenazah kini berada di hospital dan dijadual akan dibawa pulang ke Gerik selepas semua urusan berkaitan selesai.

Allahyarham Hasbullah mula bertanding sebagai wakil rakyat semasa Pilihan Raya Umum ke-11 (PRU11) pada 2004 di DUN Temenggor dan seterusnya mempertahankan kerusi itu semasa PRU12. Pada PRU13, Allahyarham bertanding di kerusi Parlimen Gerik dan seterusnya sekali lagi mempertahankan kawasan itu pada PRU14.

Semoga roh Allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman. Al-Fatihah. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.