Selamilah Suara Hati Rakyat, Bukan Buat Sangkaan Melulu, Tegas Dr Asyraf

KUALA LUMPUR, 16 Nov – “Bagi yang tidak setuju katakan sahaja tidak setuju dan alasannya. Tak perlu buat sangkaan pelbagai kononnya nak jatuhkan kerajaan.”

Demikian tegas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dalam komen balas di satu hantaran di Facebooknya.

“Cubalah selami suara hati rakyat yang majoriti sesak dan terdesak ketika dalam kecemasan kini, hingga menagih dan mengharapkan duit mereka sendiri untuk dikeluarkan.

“Apabila Pemuda UMNO suarakan sokongan, ia hanyalah manifestasi suara rakyat yang perlu kita sama-sama perjuangkan. Jangan nanti kita dihukum rakyat akibat kesombongan kita menafikan suara hati mereka buat kesekian kalinya,” katanya lagi.

Jelas Dr Asyraf, Pergerakan Pemuda Barisan Nasional (BN) Malaysia dan Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia menyokong penuh ketetapan BN yang dipertegaskan sekali lagi oleh Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Dalam satu laporan media semalam, Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO dengan tegas berkata Ahli-Ahli Parlimen BN sepakat menyokong cadangan Pengerusi Kelab Penyokong BN (BNBBC), Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak yang membawa suara rakyat mengenai kebenaran pengeluaran Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) secara sekaligus dengan jumlah maksimum RM10,000.

Beliau berkata, bukan itu sahaja, Kementerian Kewangan perlu melakukan beberapa penyesuaian bagi memastikan bayaran bulanan RM500 seperti diumumkan sebelum ini ditukarkan kepada pengeluaran secara sekali gus.

Selasa lepas, ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2021 di Dewan Rakyat, Najib berkata BN menyatakan sokongan bersyarat terhadap Belanjawan 2021 dengan menuntut kerajaan membenarkan pengeluaran “one-off” hingga RM10,000 daripada Akaun 1 KWSP selain melanjutkan moratorium secara automatik.

Ketika menyatakan perkara itu, Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan turut berpandangan pindaan terhadap rang undang-undang itu wajar dilakukan, mengambil kira situasi luar biasa dihadapi negara ketika ini susulan pandemik COVID-19. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.