Malaysia Perlukan Satu Gabungan Politik Yang Besar – Annuar

KUALA LUMPUR, 16 Nov – Setiausaha Agung Bersama Muafakat Nasional (MN), Tan Sri Annuar Musa berkata sudah tiba masanya negara memerlukan sebuah gabungan politik yang besar (grand coalation).

Menurut Annuar yang juga Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), usaha penyatuan ummah harus menjadi tanggungjawab utama dan berterusan dari semua pihak.

“Sudah terlalu lama politik kita berlegar sekeliling dua tiga personaliti, dan bukan atas dasar perjuangan.

“Sudah berkali-kali politik nasional cuba diseret kerana mempertahan atau menentang individu. Cukup-cukuplah,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Dalam masa yang sama, Annuar juga memetik kata-kata Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang menyebut tentang bakal termeterai kerjasama formal ‘tripartite’ (tiga pihak) UMNO, PAS dan PPBM.

“Insya-Allah 18hb. Nov ini kita duduk bersama dan bincangkannya di mesyuarat jawatankuasa Perunding Muafakat Nasional,” katanya.

Malah jelas Menteri Wilayah Persekutuan itu lagi, penyatuan ummah tidak harus terbatas setakat UMNO, PAS dan PPBM.

“Saya ingin menganjurkan pembentukan suatu ‘grand coalition’ yang melibatkan sekurang-kurangnya 12,13 parti politik yang sealiran.

“Mari kita garabkan penyatuan dan muafakat besar (gabungan / Muafakat Nasional) yang melibatkan BN, PN (Perikatan Nasional) (anggota MN), GPS (Gabungan Parti Sarawak) dan GRS (Gabungan Rakyat Sabah).

“Gabungan ini terhasil dari muafakat dan kerjasama berkesan anggota dalam kerajaan Perikatan Nasional,” tambah Ahli Parlimen Ketereh itu.

Seterusnya ujarnya lagi, beberapa parti yang bebas atau menolak Pakatan Harapan (PH) boleh dibawa bersama seperti Warisan, Muda, Pejuang, Berjasa, IPF, Makkal Sakti, PCM dan lain-lain lagi.

“Yang penting kita tinggalkan politik yang berlegar sekeliling personaliti, dan kita semarakkan politik penyatuan ummah yang mendahulukan kestabilan, ketahanan nasional dan kepentingan rakyat.

“Semoga ia merupakan satu persiapan dan kesiapsiagaan untuk negara muncul perkasa pasca COVID-19 2021,” katanya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.