Data Indah… Hakikatnya Rakyat Susah – Hairi

KUALA LUMPUR, 16 Nov – Ketua Pemuda UMNO Negeri Johor, Mohd Hairi Mad Shah tertarik dengan laporan yang disiarkan di dalam sebuah media arus perdana yang bertajuk “KDNK Stabil, Rakyat Merana” dan berkata ada kebenaran juga apa yang dikatakan ahli akademik dalam laporan berkenaan.

Namun katanya, hujah atau angka yang dipaparkan buat rakyat hendaklah realistik dan melihat situasi yang berlegar dalam masyarakat akar umbi.

“Janganlah semata-mata mahu menyedapkan telinga, tetapi hakikatnya ekonomi yang dilihat depan mata rakyat tidak begitu, sebagai contoh banyak perniagaan sudah gulung tikar.

“Tidak perlu pergi jauh, di bandar raya Johor Bahru… berapa banyak perniagaan terpaksa menarik ‘handbreak’ disebabkan keadaan ekonomi yang menekan, berapa banyak premis terpaksa ditutup, hotel yang bakal gulung tikar dan pasar raya yang hidup segan mati tak mahu?, katanya dalam satu hantaran Facebook, hari ini.

Dalam pada itu, Hairi yang juga Ketua Pemuda UMNO Johor Bahru turut mengalu-alukan pandangan masyarakat agar dapat memanfaatkan bersama.

“Apa pandangan rakan-rakan? Saya juga mengalu-alukan pandangan, pengalaman (perniagaan yang terjejas), atau cadangan konkrit yang boleh kita manfaatkan bersama. Saya alu-alukan dan sampaikanlah di ruangan komen ini.

“Jom kongsikan pandangan serta keluhan korang, mana tau kerajaan boleh dengar dan rakyat lain boleh menilaikan sama,” ujarnya. – UMNO Online

Oleh: Amin Adnan

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.