Bermuafakatlah, Kerana Kita Punya Matlamat Yang Sama

‘A Fair Coalition, A Harmonious Government’ (Sebuah Gabungan Yang Adil, Sebuah Kerajaan Yang Harmoni)

1. Kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH) atas ketamakan pemimpin parti komponen PH sendiri awal tahun ini menyaksikan kebangkitan sebuah kerajaan yang lebih disenangi rakyat di peringkat pusat dan di beberapa buah negeri termasuk Perak.

2. Sepanjang pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional (PN), ramai pemimpin parti komponen dan rakan kerjasama kerajaan PN memuji dan dalam masa sama ada juga yang mengkritik ketelusan kepimpinan kerajaan demi mencapai kesaksamaan berterusan.

3. Sebagai Ketua Pemuda UMNO bahagian Ipoh Barat saya meraikan semua pandangan dari ahli dan rakyat untuk disampaikan kepada pucuk pimpinan kerajaan yang kita sama-sama dokong iaitu pentadbiran baru kerajaan negeri dan pusat demi matlamat asal penyatuan.

4. Pemuda UMNO Ipoh Barat adalah termasuk di kalangan yang lantang menyuarakan isi hati ahli dan rakyat kepada kerajaan dan ini bermaksud saya menyuarakan sesuatu perkara, apabila sesuatu itu boleh memecah-belahkan penyatuan baru ini dengan ketidakadilan pembahagian sesuatu kerja atau kuasa mentadbir.

5. Matlamat utama penyatuan ini adalah untuk memartabatkan Pentadbiran Islam dan Bumiputera di samping bersikap adil kepada kaum-kaum lain.

6. Penyatuan ini boleh dijayakan, jika semua pihak termasuk UMNO berjiwa besar untuk berfikir konsep adil secara holistik. Begitu juga PAS dan PPBM.

7. Saya yakin pimpinan kita tidak ada halangan untuk berjumpa dan berbincang seikhlas hati tanpa ada fikiran siapa yang akan dapat lebih dan siapa yang akan jadi ‘abang besar’. Buang semua pemikiran untuk menjadi ‘abang besar’ dan khayal dek kuasa yang akan dipegang.

8. Pembahagian ini perlu dibincang sebelum Pilihan Raya Umum 15 (PRU15), bincang sehabis baik. Dan ‘honour all the promises’ (tepati semua janji), buat ‘gentlemen agreement’ (perjanjian yang berani dipatuhi). Ikut pucuk pimpinan parti masing-masing. Jangan ada gerakan memecah-belahkan sesebuah parti dengan melantik tanpa merujuk pucuk pimpinan bila berkuasa di sesebuah institusi atau kerajaan.

9. Adil holistik bermaksud perlu diambil kira juga pentadbiran PAS di Kelantan, Terengganu dan Kedah. Pentadbiran UMNO di Pahang, Melaka, Perlis dan Johor. Pentadbiran PPBM di Pusat, Perak dan Sabah. Lain-lain negeri kalah berusaha bersama tawan semula PRU15 ikut formula yang adil.

10. Akhirnya semua komponen kepimpinan ini seimbang, dari segala segi hatta kekayaan dan komponen ini tadi dapat bergerak setara dan seiring kekuatannya secara harmonis.

11. Pentadbiran ini perlu menjamin kesejahteraan rakyat secara keseluruhan. Rakyat sudah cakna dan sentiasa mengikuti segala isu politik di negara ini. Janganlah kita kelihatan terlalu berpolitik tanpa memikirkan solusi yang terbaik untuk rakyat tatkala negara sedang bergelut melawan kesan yang dibawa oleh pandemik COVID-19. Pelbagai sektor terjejas, pendapatan rakyat terjejas, emosi rakyat terjejas dan pelbagai kesan sampingan lain yang melanda rakyat ketika ini.

12. Bermuafakatlah, kerana Kita punya Matlamat yang sama.

Iqbal Jamal
Ketua Pemuda UMNO Bahagian Ipoh Barat

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.