Belanjawan Negeri Pahang 2021 Menjaga Kesejahteraan Rakyat, Memacu Pertumbuhan Ekonomi – Pemuda UMNO Pahang

KUANTAN, 16 Nov – Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Pahang melihat Belanjawan Negeri bagi tahun hadapan tidak mengenepikan kedua-dua aspek penting yang telah dibicarakan sebelum ini iaitu ‘Menjaga Kesejahteraan Rakyat’ dan ‘Memacu Pertumbuhan Ekonomi’.

Menurut Ketuanya, Mohd Farid Mohd Nor, pihaknya menzahirkan ucapan terima kasih kepada Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail atas bantuan sebanyak RM10 juta kepada anak muda negeri itu yang berhasrat untuk menjalankan perniagaan terutama bagi mereka yang terjejas berikutan penularan Wabak COVID-19 di negara ini.

“Jika secara purata, bantuan yang diterima oleh mereka yang layak adalah sebanyak RM5,000.00 seorang / perusahaan, seramai 2,000 orang anak muda bakal menerima faedah ini. Inilah juga luahan anak muda semasa sesi dialog diadakan bersama YAB (Yang Amat Berhormat) Menteri Besar tempoh hari.

“Selain itu Pemuda negeri juga melihat usaha menambah bilangan projek Perumahan Prima Pahang yang bernilai RM150,000.00, Rumah Makmur yang bernilai RM80,000.00, serta Program Rumah Rakyat Pahang (nilai RM65,000.00 diberi percuma kepada yang layak) dan bantuan maksimum RM10,000.00 bagi membaiki rumah-rumah yang terjejas akibat bencana dan sebagainya juga merupakan cadangan kerajaan negeri yang memberi kesan langsung kepada golongan muda,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Tambah Farid, kerajaan negeri juga mengumumkan bahawa bantuan ‘one-off’ turut diberikan kepada pasangan muda yang akan berkahwin serta bantuan bagi anak-anak yang bakal memasuki Tahun 1 sesi persekolahan tahun hadapan di mana pastinya melibatkan ibu-bapa yang masih dalam lingkungan usia muda adalah sesuatu yang amat dialu-alukan.

“Di samping itu, tumpuan bagi memperkasa kegiatan ekonomi dengan menarik pelaburan, menubuhkan Perbadanan dan Unit Khas (Perbadanan Hal Ehwal Orang Asli, Pelaburan Antarabangsa dan Ketirisan Hasil) lembaga pembangunan bagi beberapa daerah dan wilayah dalam Negeri Pahang (Pahang Barat Plus) serta menambah baik potensi Pelabuhan Kuantan yang bakal dihubungkan ke Pelabuhan Klang melalui sistem rel ECRL pastinya mampu mewujud peluang pekerjaan, sekaligus sekali lagi mewujudkan impak positif kepada anak muda,” ujarnya lagi.

Justeru itu katanya, Pemuda UMNO Negeri berdoa agar perancangan dalam Belanjawan Negeri Pahang 2021 itu dapat direalisasikan dan dilaksana dengan tekun dan berhemah tinggi terutama oleh kumpulan pelaksana dasar yang terdiri daripada golongan penjawat awam Negeri Pahang.

Pagi tadi, Wan Rosdy yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jelai membentangkan belanjawan negeri bagi tahun hadapan dengan tema ‘Kemakmuran Negeri, Manfaat Bersama’. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.