Pertumbuhan Ekonomi Dipengaruhi Pandangan Jangka Panjang, Kestabilan Politik

KUALA LUMPUR, 15 Nov – Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Abdul Samad berkata pertumbuhan ekonomi dipengaruhi oleh padangan jangka panjang (long term view) kerana ‘real economy’, iaitu perniagaan dan perusahaan mengambil masa untuk dirancang, dimulakan, diuruskan sehinggalah mendapat pulangan memadai dengan jumlah pelaburan.

“Tanpa keyakinan tempoh masa panjang (long term confidence) ini, sektor swasta tidak akan melabur dan akan hanya melihat kepada keuntungan dalam jangka masa pendek (short term profits),” ujarnya dalam satu hantaran di Facebook.

Jelasnya, keyakinan jangka masa panjang itu memerlukan kepada kestabilan politik.

“Fakta ini terancam oleh pemerintahan yang kelihatan tidak stabil bagi tempoh yang panjang.

“Ini sebabnya negara berhadapan masalah jangkamasa panjang akibat kehilangan keyakinan politik semasa. Kalau kecelaruan politik ini berterusan, lagi sukar bagi rakyat dan negara,” katanya.

Shahrir berkata demikian merujuk kepada sebuah laporan portal yang berkata pakar ekonomi bimbang dengan kejatuhan mendadak dalam pembentukan modal tetap kasar atau pelaburan tetap Malaysia, yang menurut mereka ialah petunjuk utama kesihatan ekonomi jangka panjang dan satu lagi pendapat yang mengatakan pelaburan tetap ialah ukuran baik untuk kekuatan asas ekonomi Malaysia, tetapi ia sangat sensitif kepada ketidakstabilan ekonomi dan politik.

Jumaat lalu, Jabatan Perangkaan berkata, pembentukan modal tetap kasar Malaysia merosot 11.6% pada suku ketiga tahun ini, meskipun angka itu ialah peningkatan daripada penurunan 28.9% pada suku kedua. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.