Selamat Hari Deepavali, Kepelbagaian Kaum Teras Pembangunan Negara – Zahid

KUALA LUMPUR, 14 Nov – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menzahirkan ucapan Selamat Hari Deepavali dengan berkata, perayaan ini mengeratkan persaudaraan meskipun disambut dalam norma baharu.

Ini berikutan, Deepavali yang berlangsung hari ini tidak dapat diraikan sebagaimana tahun-tahun lalu kerana Peritah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di beberapa negeri bagi mengawal dan mengekang penularan pandemik COVID-19.

“Kepelbagaian kaum dan budaya di Malaysia menjadi teras ke arah pembangunan sebuah negara yang makmur dengan rakyatnya hidup dalam suasana aman dan harmoni. Deepavali mengeratkan persaudaraan meskipun disambut dalam norma baharu,” katanya dalam kenyataan pendek menerusi laman facebooknya.

Terdahulu, kerajaan menetapkan di kawasan PKPD, hanya keluarga dalam satu rumah boleh meraikan secara bersama sementara di kawasan PKPB, jiran terdekat turut dibenarkan dengan syarat tidak melebihi 20 orang dalam satu-satu masa.

Dalam hal ini, pihak berkuasa akan melakukan rondaan di kawasan perumahan dan perkampungan bagi memastikan orang ramai mematuhi SOP yang ditetapkan. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.