Dakwaan Tidak Berjiwa UMNO Fitnah, Teguh Dalam Landasan ‘Bersatu Bersetia Berkhidmat’ – Noraini

KUALA LUMPUR, 14 Nov – Ketua Wanita UMNO, Datuk Dr Noraini Ahmad membidas tindakan berbaur fitnah yang dilakukan segelintir pihak dengan mendakwa beberapa pemimpin UMNO termasuklah dirinya adalah cenderung menyokong parti lain selain UMNO.

Katanya, dakwaan yang mengatakan dirinya ‘berwajah UMNO tapi berjiwa PPBM’ adalah tidak benar sama sekali.

“Dakwaan ini adalah fitnah dan sengaja disebarkan sebagai cara pihak tertentu untuk merosakkan kepercayaan serta keyakinan rakyat terhadap para pemimpin UMNO termasuklah saya sedangkan jiwa saya tetap teguh kepada perjuangan UMNO ‘bersatu, bersetia dan berkhidmat’,” katanya kepada UMNO Online.

Dalam masa yang sama, beliau yang juga Menteri Pengajian Tinggi merangkap Ahli Parlimen Parit Sulong menegaskan akan terus mendukung apa-apa keputusan dalam UMNO khususnya dalam perjuangan demi agama, bangsa dan negara.

Terdahulu tular grafik yang mengaitkan dirinya termasuk beberapa pemimpin UMNO iaitu Tan Sri Annuar Musa, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Khairy Jamaluddin dengan dakwaan mereka tidak berjiwa UMNO. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.