Moratorium & KWSP: BN Konsisten Perjuangkan Dari Sebelum Pembentangan Bajet 2021

KUALA LUMPUR, 13 Nov – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Armand Azha Abu Hanifah berkata pendirian parti bahawa pentingnya kerajaan mengambil pendekatan moratorium untuk dilanjutkan secara keseluruhan dan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) RM10,000 merupakan perkara yang telah diperjuangkan sebelum dari pembentangan Belanjawan 2021 lagi.

Menurut beliau ramai yang memperkatakan isu berkenaan malah ada yang bertanya kenapa kepimpinan UMNO serta Barisan Nasional (BN) konsisten dalam isu tersebut.

Menerusi catatannya di Facebook, jelas beliau pertama harus diingat jika bersasar, banyak akan menerima kesannnya jika kerajaan tidak membantu mereka terutama pemilik-pemilik kedai dan penyewa malah jika pemilik tidak dapat moratorium, penyewa akan ditekan untuk buat bayaran penyewaan.

“Apabila peniaga tidak dapat mencapai jualan untuk bayar sewa sehingga perlu tutup kedai maka pekerja-pekerja akan kehilangan pekerjaan.

“Apabila hilang punca pendapatan mereka akan ada kesukaran pembayaran sewa rumah, bayaran kenderaan, kad kredit dan pelbagai lagi. Apabila sukar membuat pembayaran pada bank-bank, maka akan banyak NPL (Non Performing Loan), sehingga disenarai hitam akhirnya mungkin bangkrap…. Ini dinamakan teori domino dalam ekonomi,” katanya.

Tambah Armand lagi, keduanya pengeluaran KWSP RM10,000  merupakan salah satu langkah untuk mewujudkan ekonomi domestik rakyat dan jika ianya dilaksanakan mereka ada peluang untuk mulakan perniagaan kecil secara online atau membuka perniagaan kecil-kecilan seperti kedai burger, kedai minuman, kedai jahitan dan sebagainya lagi terutama pada yang kehilangan pekerjaan kerana situasi terkini,” ujarnya.

Kerana Itulah sambung Arman kepimpinan UMNO dan BN konsisten dalam isu moratorium dan KWSP ini iaitu memikirkan pelan jangka pendek dan panjang buat majoriti rakyat Malaysia.

“Sama-sama kita doakan agar perkara ini masih boleh dipertimbangkan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin demi kesejahteraan rakyat Malaysia,” ujarnya lagi.- UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.