Bebas Berdagang Di Wilayah Persekutuan Tepat Pada Masanya, Bantu Rakyat Terjejas

KUALA LUMPUR, 13 Nov – Pemuda Barisan Nasional (BN) Wilayah Persekutuan menyambut baik pengumuman mengenai kawasan di negeri berkenaan termasuk Putrajaya dan Labuan menjadi wilayah bebas berdagang.

Pengerusinya Mohammed Nizham Abdullah Hamidi berkata pengumuman yang dibuat oleh Tan Sri Annuar Musa selaku Menteri Wilayah Persekutuan tepat pada masanya kerana hari ini rakyat berdepan dengan situasi yang sukar.

Menurut beliau rakyat berjuang untuk mencari nafkah kerana kesan daripada pandemik COVID-19, apabila dapat dilihat banyak dari kalangan mereka beralih kepada perniagaan makanan, minuman dan sebagainya lagi.

“Oleh itu, kami menyambut baik pengumuman Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa yang membenarkan kawasan Wilayah Persekutuan menjadi wilayah bebas berdagang untuk membolehkan sesiapa sahaja yang ingin terlibat dalam perniagaan F&B dan penjaja jalanan menjalankan gerai mereka di mana sahaja di sekitar bandaraya.

“Kami yakin cadangan ini akan disokong oleh pihak berkuasa tempatan dengan panduan yang tepat, peraturan ringan dan syarat perlesenan untuk memastikan kegiatan tersebut tidak akan mengganggu lalu lintas dan menimbulkan rasa tidak selesa di kalangan warga kota,” katanya kepada UMNO Online, di sini, hari ini.

Sementara itu dalam perkembangan sama beliau turut menyatakan kekecewaan terhadap Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok yang membuat komen tidak membina dalam membahaskan perkara ini menerusi sidang Dewan Rakyat.

Tegasnya Ahli Parlimen Seputeh itu menunjukkan tingkah laku yang tidak dapat diterima dengan memprovokasi ahli parlimen lain untuk membuka gerai nasi lemak di Jalan Parlimen.

“Kegagalannya untuk memahami keseluruhan isu dan saranan dasar oleh kementerian telah menunjukkan kurangnya profesionalisme dalam mewakili konstituennya. Beliau adalah contoh seorang pemimpin pembangkang yang hanya membangkang semata-mata tanpa matlamat yang jelas.

“Pemuda BN Wilayah Persekutuan mengalu-alukan sebarang cadangan dari kalangan Ahli Parlimen Wilayah Persekutuan untuk menangani masalah sebenar yang melibatkan rakyat. Dalam masa yang sukar ini, kami percaya bahawa semua Ahli Parlimen harus bersatu untuk membantu rakyat.

“Kita bukan sahaja menghadapi masalah COVID-19 tetapi juga krisis ekonomi yang serius. Jauhkan perbezaan ideologi politik anda dan fokus dalam membantu rakyat,” ujarnya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.