Lagi Gangguan Air Di Selangor… 12 Tahun Mentadir Tapi Masalah Tetap Sama – Armand

KUALA LUMPUR, 11 Nov – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Armand Azha Abu Hanifah membidas Kerajaan Negeri Selangor pimpinan Pakatan Harapan (PH) yang jelas gagal dalam mentadbir apabila sekali lagi berlaku gangguan air di negeri terbabit atas alasan sama iaitu akibat pencemaran sungai.

Katanya, dengan apa yang berlaku ternyata bahawa kerajaan Negeri Selangor tak sudah-sudah menyusahkan rakyat dengan masalah yang sama.

“Saya rasa majoroti rakyat negeri Selangor ini ‘pening’ dengan kerenah yang dilakukan hasil pentadbiran Menteri Besarnya, Datuk Seri Amirudin Shari.

“Tolonglah selesaikan masalah rakyat, prihatinlah dengan masalah rakyat dan janganlah bebankan masalah begini kepada rakyat. Ambillah tindakan terhadap kilang-kilang itu, wahai Menteri Besar Selangor… tolonglah jaga rakyat dan dengar masalah rakyat dengan menyelesaikan masalah khususnya berkaitan air,”
katanya dalam kenyataan berkaitan isu terbabit.

Tegas Armand Azha yang juga Ketua UMNO Bahagian Subang, permasalahan yang berlarutan ini juga adalah bukti kegagalan kerajaan Negeri Selangor menjaga kepentingan rakyat.

“Inilah masa untuk kita berubah… tak usahlah nak berikan peluang lagi kepada mereka sebab dah 12 tahun dah tapi tak boleh selesaikan masalah.

“Pilihan raya akan datang undilah parti yang benar-benar berjuang untuk rakyat dan bukan lagi PH… 12 tahun dah rakyat Negeri Selangor beri peluang dan ruang menjadi kerajaan tetapi masalah air masih tak boleh diselesaikan,” katanya.

Semalam, Air Selangor dalam kenyataan memaklumkan, sebanyak 1,139,008 akaun merangkumi 1,279 kawasan sekitar Kuala Lumpur, Petaling, Klang, Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat, akan mengalami gangguan bekalan air mulai jam 6 petang akibat pencemaran bau seakan-akan pelarut yang dikesan di Sungai Selangor.

Dilaporkan, sejak awal tahun ini, Selangor mengalami sembilan kali pencemaran yang menjejaskan bekalan air bersih kepada pengguna malah yang terakhir ialah sekitar tiga minggu lalu. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.