Belanjawan 2021: Kerajaan Jangan Anak Tirikan Kumpulan M40

KUALA LUMPUR, 11 Nov – Pergerakan Puteri UMNO mempersoalkan apakah langkah kerajaan untuk menangani masalah bagi kumpulan pertengahan 40% atau ‘middle’ 40% (M40) yang dilihat tidak diambil kira atau terlepas pandang dalam Belanjawan 2021 lalu.

Ketuanya, Datuk Zahida Zarikh Khan melihat kumpulan M40 telah dianaktirikan oleh kerajaan kerana segala bantuan yang kerajaan sediakan adalah untuk kumpulan B40.

“Saya mendengar banyak pandangan dan rintihan rakyat daripada pelbagai latar belakang teridiri daripada B40, M40 termasuklah T20. Kumpulan M40 adalah kategori rakyat yang berpendapatan isi rumah diantara RM4,500 hingga RM10,500 sebulan yang 70% daripada mereka terdiri daripada masyarakat Bumiputera dan mereka terdiri daripada 40% daripada isi rumah di Malaysia.

“Bagi saya M40 tidak diambil kira atau terlepas pandang.Purata kategori M40 ini membawa balik pendapatan sebanyak RM6,500 sebulan seisi rumah yang mempunyai kadar penghuni seramai 4-5 orang. Adakah pendapatan purata RM1,300 seorang itu kaya atau dikategorikan sebagai kelas pertengahan jika mereka tinggal di Kuala Lumpur?” katanya dalam kenyataan menerusi facebooknya, hari ini.

Jelasnya, dengan pandemik COVID-19 yang bermaharajalela sekarang ini dan melibatkan seluruh rakyat, ditambah dengan kesan PKPB keseluruh negeri (kecuali tiga negeri), maka beliau bimbang ramai dikalangan M40 ini telah jatuh kepada kategori B40.

“Dengan pendapatan purata RM6,500 sebulan, mereka juga telah termasuk didalam kategori pembayar-pembayar cukai pendapatan kepada kerajaan. Yang menyedihkannya, pengorbanan ini seakan tidak diambil kira didalam pembentangan Bajet 2021 pada Jumaat lepas.

“Segala insentif dan pertolongan yang diumum oleh kerajaan adalah untuk mereka dalam kategori B40. Kadar pembayaran cukai pendapatan langsung tidak disentuh, insentif-insentif dan bantuan kerajaan tidak diberi bagi kategori M40 ini.

“Perbelajaan terbanyak mereka adalah untuk pembiayaan kereta dan rumah. Lanjutan kepada moratorium pembayaran balik untuk sewa beli kereta dan ansuran bulanan rumah tidak ditawarkan kepada semua di dalam bajet 2021 tersebut.

“Kumpulan M40 ini telah menjadi lebih teruk dengan komitmen mereka. Malah lebih menyedihkan, ada yang telah menjadi lebih teruk kedudukan mereka berbanding B40.”

Soalnya lagi, adakah lebih ramai akan jadi seperti kisah tular saudara Azrin Mohamad Zawawi bekas Juruterbang yang terpaksa berniaga selepas hilang kerjaya dan punca pendapatan? – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.