Jangan Ada Yang Tercicir Dari Manfaat Bajet 2021 – Zahida

KUALA LUMPUR, 10 Nov – Apalah maknanya jika kerajaan mengumumkan angka berbilion-bilion tetapi masih ada tercicir daripada menerima manfaat daripadanya, kata Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Datuk Zahida Zarik Khan.

Ini kerana ujarnya, Bajet 2021 yang dibentangkan pada Jumaat lalu adalah yang terbesar dalam sejarah membabitkan peruntukan sebanyak RM322.5 bilion.

“Di saat situasi serba mencabar dalam usaha melawan pandemik COVID-19 ketika ini memerlukan kerajaan yang cermat, prihatin dan sentiasa cakna pada keluh kesah rakyat.

“Bagi Barisan Nasional (BN) secara konsisten mahukan dua perkara besar iaitu membenarkan pengeluaran wang KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja) kepada semua pencarum yang memerlukan dan lanjutan moratorium sehingga enam bulan mesti dilaksanakan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Jelasnya, itu adalah untuk memastikan rakyat terutamanya kumpulan B40 yang terkesan teruk akibat daripada kelembapan ekonomi ketika musim Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sekarang terbela dan suara mereka didengari.

“Kami di BN sentiasa prihatin, sentiasa ambil berat tentang rintihan rakyat dan akan terus memantau rapat Bajet 2021 ini agar dapat memberi impak positif kepada kemajuan negara,” tambahnya lagi. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.