Cipta Sesuatu Yang Luar Biasa, Pinda Belanjawan 2021 Sebelum Disokong, Saran Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR, 10 Nov – Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan menyarankan agar Belanjawan 2021 dipinda sebelum disokong untuk kelulusan.

Ini kerana katanya, pelbagai cadangan yang dilontarkan oleh Ahli Parlimen Pekan yang juga Pengerusi Kelab Penyokong Barisan Nasional (BNBBC), Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak menyentuh beberapa penambahbaikan bajet tersebut untuk kebajikan rakyat.

Menurutnya, sepanjang pengalaman berada di Dewan Rakyat, tidak pernah bajet dipinda dan dalam keadaan rakyat menghadapi situasi yang luar biasa kini akibat pandemik COVID-19, sesuatu yang luar biasa berkaitan bajet itu juga perlu dilakukan.

“Apa kata pada kali ini kita membuat sesuatu yang luar biasa, kita bersetuju untuk meluluskan Bajet 2021 dengan pindaan-pindaan tertentu sebagaimana contoh yang disebut oleh Yang Berhormat Pekan tadi moratorium secara automatik dan juga pengeluaran Akaun 1 KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja).

“Apabila kita meluluskan bajet, Menteri Kewangan (Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz) dalam ucapan penggulungannya bahawa Menteri Kewangan bersetuju dibentang di dewan ini dengan pindaan-pindaan, katalah sepuluh perkara.

“Kalau tidak ahli-ahli Yang Berhormat bercakap berbuih mulut berjam-jam berpuluh minit diganggu tetapi tidak ada satu pun, tiada ada sepatah pun dari bajet itu ditukar dan dipinda. Jadi apa kata pada tahun ini untuk kali pertama, alang-alang Yang Berhormat menteri kewangan kami ahli-ahli parti politik mewakili dan berdialog, apa salahnya kalau pada kali ini kita lakukan sesuatu yang luar biasa dan bersejarah, bajet diluluskan dengan sepuluh pindaan misalnya ataupun 20 pindaan yang mana yang baik cadangan dari dua-dua belah pihak (blok kerajaan dan pembangkang) diterima oleh menteri kewangan, barulah kita bersetuju bajet ini diluluskan,” kata Ahmad lagi.

Ahmad yang juga Setiausaha Agung UMNO berkata demikian ketika mencelah ucapan Najib di dalam perbahasan peringkat dasar Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan 2021 (Bajet 2021) di Dewan Rakyat, hari ini.

Najib yang juga Perdana Menteri Keenam dalam ucapannya berkata cadangan utama yang dibawa oleh BN adalah melanjutkan moratorium secara automatik kepada semua peminjam sehingga Jun 2021, termasuk juga bagi peminjam Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) dan Tekun serta kelulusan untuk pengeluaran Akaun 1 KWSP sebanyak RM10,000 secara ‘one-off’. – UMNO ONLINE

Oleh: Zylan Mohamed

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.