Puteri, Pemuda UMNO Sandakan Ringankan Beban Rakyat Terkesan COVID-19

SANDAKAN, 9 Nov – Walaupun terpaksa meredah laluan hutan bakau, panas terik dan meniti jambatan usang, ia sedikit pun tidak melunturkan semangat Pergerakan Puteri dan Pemuda UMNO Bahagian Sandakan penyampaian bantuan makanan kepada masyarakat yang terjejas dengan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di daerah ini, termasuk di kawasan setinggan.

Siap mengenakan peralatan perlindungan diri seperti pelitup muka dan pelindung muka, ahli Puteri UMNO Sandakan yang diketuai Ketuanya Shaninah Sani sudah melakukan aktiviti itu sejak PKP fasa pertama pada Mac lepas.

“Niat kami adalah untuk bersedekah dan kami laksanakan usaha ini atas dasar kemanusiaan tanpa mengira penduduk warganegara atau tidak.

“Pandemik ini bukan sahaja melanda negara, tetapi seluruh dunia dan salah satu langkah bagi memutuskan rantaian wabak ini ialah dengan sifat kemanusiaan,” kata Shaninah kepada Bernama semasa menyampaikan bantuan di sebuah kawasan setinggan di sini.

Menurut Shaninah, walaupun mempunyai dana yang terhad, pihaknya telah berjaya menyampaikan bantuan kepada kira-kira 1,000 keluarga yang dikenal pasti melalui Facebook dan makluman orang ramai.

Shaninah berkata ada kalanya golongan daif yang amat memerlukan bantuan dalam situasi PKPB akibat pandemik COVID-19, ditemui secara tidak sengaja seperti yang berlaku di sebuah penempatan setinggan di sini.

“Baru-baru ini, kami telah menolong seorang ibu hamil yang keguguran di sebuah setinggan dan membawanya ke hospital untuk rawatan.

“Keadaan kawasan itu sangat daif dan kami pantas menyedari terdapat keluarga lain yang memerlukan dan kami gerakkan usaha menyampaikan bantuan makanan,” katanya.

Seorang penduduk kawasan setinggan itu yang mahu dikenali sebagai Norhanina, 21, berterima kasih kepada Puteri UMNO Sandakan kerana prihatin memberikan bantuan kepada keluarga adik iparnya, yang tinggal bersama ibu bapanya dan dua anaknya yang masih kecil.

“Pekerjaan adik ipar saya tidak menentu. Lebih-lebih lagi sekarang ini PKPB, semakin sukar dia mencari pekerjaan untuk menyara keluarga. Isterinya pula telah lama meninggalkannya,” katanya.

Ketua Pemuda UMNO Sandakan Muslie Mustafa berkata kerjasama dengan Puteri UMNO itu membolehkan lebih ramai masyarakat yang terputus bekalan mendapat bantuan makanan, termasuk susu formula bayi, makanan basah, pakaian dan lain-lain.

Untuk rekod, Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah memaklumkan Sandakan mempunyai 34 kawasan setinggan melibatkan hampir 30,000 penduduk warganegara dan bukan warganegara, menjadikan bilangan setinggan daerah ini yang kedua tertinggi di Sabah selepas Kota Kinabalu. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.