BN Bawa Suara Rakyat – Azeez Rahim

KUALA LUMPUR, 9 Nov – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata suara-suara rakyat adalah tanggungjawab dan amanah buat Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang akan dikumandangkan di Dewan Rakyat.

Ahli Parlimen Baling itu menyedari terdapat cadangan daripada rakyat agar kerajaan dapat membenarkan pengeluaran maksimum RM6,000 tersebut secara pukal dan bukannya terhad kepada pencarum yang hilang pekerjaan sahaja.

“Walaupun memahami pengeluaran bersasar yang dilakukan oleh kerajaan itu adalah demi kebaikan jangka panjang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), namun masih terdapat beberapa lagi golongan yang sangat terdesak untuk mendapatkan belanja bulanan.

“Pertama pekerja yang diarahkan cuti tanpa gaji, kedua pekerja yang dipotong gaji dan ketiga pekerja yang dikurangkan tempoh masa kerja sekaligus mengurangkan pendapatan bulanan mereka.

“Keempat, individu yang telah berhenti kerja sebelum pandemik bagi memulakan perniagaan tetapi kini menghadapi kewangan yang meruncing akibat situasi ekonomi yang malap,” ujarnya dalam satu catatan di Facebook.

Jelas Abdul Azeez, itu semua adalah antara golongan yang bermasalah dan sangat memerlukan tunai bagi meneruskan kelangsungan hidup.

“Mereka tidak mendapat manfaat Skim Insurans Pekerjaan (EIS) serta sebahagian pula mungkin tidak mendapat Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) kerana rekod pendapatan isi rumah melebihi RM5,001,” tambahnya.

Justeru, Abdul Azeez percaya KWSP lebih daripada mampu untuk menimbangkan tambahan pengeluaran daripada kategori-kategori rakyat yang memerlukan.

“Sekiranya perlu, KWSP boleh menghadkan jumlah pengeluaran melalui peratusan simpanan yang ada bagi mengelakkan masalah pencarum di hari tua.

“Saya percaya pada akhirnya kerajaan akan sentiasa mendengar keluh kesah rakyat dan menjadikan kepentingan masyarakat sebagai keutamaan negara,” katanya lagi.

Abdul Azeez turut mengucapkan ribuan terima kasih dan penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan di atas pembentangan bajet yang komprehensif dan menyantuni kehendak rakyat terutamanya dalam isu pengeluaran Akaun 1 KWSP.

“Ia adalah sesuatu yang sangat baik dan menunjukkan keprihatinan kerajaan,” ujarnya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.