Belanjawan 2021: Lima Isu Utama Rakyat Bangkitkan Wajar Dibahaskan Di Dewan Rakyat


KUALA LUMPUR, 9 Nov – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata beliau telah menyampaikan semua pandangan-pandangan rakyat pasca pembentangan Belanjawan 2021 di dalam Mesyuarat Khas Persiapan Perbahasan Belanjawan Negara 2021 yang dipengerusikan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kelmarin.

“Insya-Allah, Datuk Seri Najib Razak (Ahli Parlimen Pekan) akan menjadi Pembahas pertama mewakili Barisan Nasional (BN) pada hari Selasa diikuti Ahli-ahli Parlimen BN yang lain.

“Secara rumusannya terdapat lima perkara utama yang dibangkitkan oleh rakyat dan insyaAllah akan terus diperjuangkan oleh BN dalam sesi perbahasan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, sambil mengucapkan terima kasih atas semua pandangan dan maklum balas yang telah diberikan.

Berikut merupakan lima perkara utama yang dibangkitkan oleh rakyat.

1. ISU KUMPULAN WANG SIMPANAN PEKERJA (KWSP)
– Saya telah mencadangkan berpandukan suara rakyat untuk dibenarkan pengeluaran Akaun 1 KWSP maksimum sebanyak RM10,000 dan tidak perlu bersasar kerana ia bersifat sukarela.
– Implikasi hanya sekitar RM40 bilion iaitu hanya 4% daripada keseluruhan dana semasa KWSP sekitar RM940 bilion.

2. ISU MORATORIUM
– Perlanjutan tempoh moratorium secara automatik juga antara yang dibangkitkan oleh ramai rakyat yang sedang sengsara akibat COVID-19.

3. FOKUS SAKSAMA KEPADA M40
– Menilai kembali bantuan agar golongan M40 tidak dikesampingkan kerana kesan COVID-19 turut memberi impak besar kepada golongan M40.

4. ISU MAHASISWA
– Lebih kurang 1.3 juta pelajar universiti Awam dan Swasta turut terjejas akibat COVID-19, termasuklah isu kewangan melibatkan rumah sewa, pembelajaran atas talian.
– Cadangan awal Pemuda UMNO agar diberikan bantuan RM50 sebulan untuk 12 bulan dalam bentuk E-Wallet untuk dimanfaatkan bagi pembelian data telefon bimbit.
– Juga cadangan dikembalikan baucar buku, kad siswa khas dan juga cadangan mengembalikan semula program MyBrain15 sebagai salah satu inisiatif pemulihan dan penjanaan semula ekonomi negara pasca COVID-19.

5. Mengkaji semula kesesuaian peruntukan yang terlalu besar untuk mengembalikan JASA pada ketika ini.

Ulas Dr Asyaf lagi, dua isu pertama iaitu KWSP dan Moratorium tidak memberikan kesan kepda Belanjawan Negara 2021.

Begitu juga katanya, banyak lagi perkara yang akan dibahaskan oleh Ahli-Ahli Parlimen BN yang akan memfokuskan kepada kehendak dan suara hati rakyat. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.