Belanjawan 2021 Komitmen Kerajaan Pulihkan Malaysia… Atasi Kerencaman Politik – Khaled

KUALA LUMPUR, 7 Nov – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menganggap Belanjawan 2021 yang membawa tema ‘Teguh Kita, Menang Bersama’ bukan hanya bertumpu kepada kesejahteraan rakyat, malah memperlihat komitmen kerajaan Persekutuan untuk memulihkan Malaysia dari dampak pandemik COVID-19.

Katanya, peruntukan yang diberikan merangkumi pelbagai aspek kebajikan yang menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap pergelutan rakyat dalam perjuangan melawan pandemik COVID-19 di samping mengatasi segala kerencaman politik dalam penggubalannya.

“Belanjawan 2021 terus mempergiatkan ikhtiar memerangi COVID-19, dengan peruntukan yang holistik demi mengukuhkan kebingkasan masyarakat dan ekonomi Malaysia,” katanya dalam kenyataan media berkaitan Belanjawan 2021 yang dibentangkan di Dewan Rakyat semalam.

Ujarnya, reaksi terhadap belajawan yang dibentangkan semalam oleh Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz adalah pelbagai.

“Saya berpandangan bahawa ia adalah ‘belanjawan untuk semua’, yang dirangka dalam keadaan Malaysia tidak berada dalam kedudukan terbaik kerana pandemik global. Tidak ada kerajaan yang mampu memberikan segalanya kepada semuanya dengan sebanyaknya dalam himpitan luar biasa waktu ini.


Sehubungan itu beliau menyeru peningkatan radikal dalam pelaksanaan segala program yang di umumkan dengan mengelakkan segala elemen ketirisan, penyelewengan dan birokrasi.
“Sektor perkhidmatan awam mesti menterjemahkan Belanjawan 2021 demi merealisasikan komitmen kerajaan kepada Malaysia.
“Saya amat kagum dengan komitmen kerajaan dalam mengutamakan kesejahteraan rakyat. Semoga Belanjawan ini di sokong oleh semua Ahli Parlimen Malaysia tanpa mengira ideologi dan kepercayaan politik demi Malaysia dan rakyatnya,” katanya lagi. – UMNO Online