Laporan Polis: Pihak Berkuasa Digesa Ambil Tindakan Segera Terhadap UMANY

KUALA LUMPUR, 6 Nov – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Malaysia Datuk Mohamad Razlan Mohd Rafii hari ini membuat laporan polis mendesak pihak berkuasa Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap University Of Malaya Association Of New Youth (UMANY) yang secara terang-terangan telah menghina dan memperlekehkan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Yang Dipertuan Agong dan Institusi Raja-Raja Melayu dengan menaikkan beberapa ‘posting’ berunsur kebencian, penghinaan dan mempunyai ciri-ciri gerakan subversif di laman ‘facebook’ mereka.

Ujar Razlan yang juga merupakan Naib Ketua UMNO Bahagian Seputeh, gerakan UMANY ini amat merbahaya dan boleh merosakkan keamanan negara ini yang hidup berbilang kaum.

“Jika kita lihat di facebook mereka, UMANY secara terbuka memberi sokongan terhadap ‘kempen 3 jari’ yang sedang berlangsung di negara jiran Thailand terhadap institusi diraja mereka di mana mereka mahu menggulingkan Raja.

“Saya percaya tindakan UMANY ini juga adalah salah satu usaha dan perbuatan yang bertujuan untuk menghasut dan cubaan mengerakkan gerakan subversif kepada rakyat Malaysia di dalam negara kita yang juga mempunyai Institusi Diraja, termaktub di bawah konsep Rukun Negara dan Perlembagaan Negara di atas platform kebebasan bersuara terhadap tindak-tinduk mereka.

“Saya juga percaya gerakan yang dirancang oleh UMANY ini adalah satu gerakan yang didalangi oleh pihak yang mempunyai berkepentingan di dalam Negara ini yang berusaha untuk mencemarkan kedaulatan Institusi Diraja kita renteten dari penolakan pengisytiharan darurat oleh Yang Dipertuan Agong baru-baru ini,” ujar beliau selepas membuat laporan polis di Balai Polis Pantai, hari ini.

Tegas Razlan, gerakan ini sekiranya tidak dibendung dari awal akan mendatangkan kemudaratan yang lebih parah dan berat lebih-lebih lagi ia dijayakan oleh golongan mahasiswa yang berpaksikan kepada kebebasan suara yang berfahaman radikal dan ‘anti establishment’ yang boleh merosak dan meruntuhkan keharmonian negara, perpaduan rakyat dan kerukunan perlembagaan Negara kita yang dipayungi dibawah peranan dan fungsi Institusi di-Raja.

“Justeru, saya mendesak pihak PDRM mengambil tindakan segera dengan tegas malah pentadbir Universiti Malaya dan Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia wajib memandang serius dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap isu ini agar kesucian dan kedaulatan Institusi Raja-Raja Melayu di dalam Negara kita tidak tercemar dan dipersendaka,” ujar beliau. – UMNO ONLINE

Oleh: Azlina Rosdy

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.