Kerajaan Prihatin, Belanjawan 2021 Zahir Sokongan Kepada Golongan Wanita – Noraini

KUALA LUMPUR, 6 Nov – Pergerakan Wanita UMNO amat menghargai keprihatinan kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan berterima kasih kepada Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz yang telah menzahirkan sokongan kepada golongan terbabit sebagaimana direalisasikan dalam pembentangan Belanjawan 2021, hari ini.

Ketuanya, Datuk Dr Noraini Ahmad berkata, sokongan yang diberikan ini akan mengangkat martabat wanita dalam memastikan kelestarian dan kesejahteraan negara.

“Wanita UMNO amat berbesar hati dengan pengumuman yang dibuat khususnya mengangkat cadangan-cadangan yang telah ketengahkan oleh Wanita UMNO bagi memperkasa golongan wanita.

“Antaranya ialah membabitkan isu kesihatan sebagaimana diumumkan peruntukan khas untuk program rawatan kesihatan wanita khususnya penyakit kanser servik dan kanser payudara selain potongan caj hospital bagi ibu yang bersalin,” katanya dalam kenyataan berkaitan hal terbabit, hari ini.

Tidak ketinggalan katanya, hal kebajikan turut dititik beratkan dengan bajet untuk mewujudkan pusat asuhan kanak-kanak bagi membantu wanita yang berkerjaya selain perkara membabitkan pendidikan dan lain-lain yang kesemuanya melibatkan golongan wanita secara langsung.

“Namun begitu, paling bermakna adalah peruntukan dalam bidang keusahawanan apabila menyediakan pembiayaan mikro kredit khas untuk memperkasa usahawan wanita dan buat julung kalinya diwujudkan program khusus bagi kontraktor wanita Bumiputera agar dapat meningkatkan penglibatan mereka.

Terdahulu dalam pembentangan di Parlimen, Tengku Zafrul memaklumkan Belanjawan 2021 memperuntukkan perbelanjaan berjumlah RM322.5 bilion iaitu perbelanjaan terbesar dalam sejarah yang merangkumi RM236.5 bilion bagi perbelanjaan mengurus, RM69 bilion bagi pembangunan dan RM17 bilion di bawah Kumpulan Wang COVID-19, manakala RM2 bilion lagi diperuntukkan bagi simpanan luar jangka. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.