Belanjawan 2021 Secara Dasar Tepati Prinsip Memorandum Suara Rakyat – Dr Asyraf

KUALA LUMPUR, 6 Nov – Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata Belanjawan 2021 secara dasarnya menepati prinsip yang digariskan dalam Memorandum Suara Rakyat yang diserahkan pergerakan itu kepada Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz baru-baru ini.

Jelas.beliau antara kandungan memorandum yang diserahkan pihaknya itu berpaksikan kepada belanjawan mengembang (expansionary budget), tidak terikat dengan kekangan kedudukan fiskal negara, dan menfokuskan kepada kesejahteraan rakyat.

Untuk itu katanya pengamatan awal mendapati Belanjawan 2021 ini agak menyeluruh dan menyentuh hampir semua golongan sasaran termasuk di bandar dan luar bandar dan wilayah pembangunan.

“Walaupun ada perbezaan dari jumlah kuantum bantuan dan insentif yang kami tuntut, secara dasarnya YB Menteri (Tengku Zafrul) menyantuni pandangan kami sebaiknya.

“Sebagai contoh, Pemuda UMNO menuntut agar lanjutan tempoh moratorium secara pukal dalam tempoh 3 ke 6 bulan. Kedua, Pemuda UMNO juga menuntut, kebenaran pengeluaran akaun satu KWSP sekurang-kurangnya RM5,000.

“Ketiga, e-wallet yang dicadangkan adalah bernilai RM50 sebulan untuk tempoh 12 bulan kepada belia yang belajar di universiti awam dan swasta,” katanya menerusi Facebook hari ini.

Asyraf Wajdi berkata, Pemuda UMNO akan mengkaji lebih mendalam mengenai belanjawan berkenaan, berbincang dan memperhalusi implikasi serta kesannya kepada rakyat secara menyeluruh.

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.