Belanjawan 2021, Belanjawan Rakyat Kepada Rakyat – Mahdzir

KUALA LUMPUR, 6 Nov – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid menganggap Belanjawan 2021 yang dibentangkan di Parlimen hari ini adalah satu belanjawan rakyat kepada rakyat.

Sehubungan itu, beliau yang juga Pengerusi Tenaga Nasional Berhad (TNB) menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk bersatu padu tanpa mengira bangsa dan agama untuk menjayakan Belanjawan 2021 ini.

Katanya, tidak seperti kebiasaannya kerana belanjawan kali ini menyaksikan Kerajaan berbelanja secara bersasar apabila hampir keseluruhan rakyat dan sektor ekonomi mendapat manfaatnya.

“Walau dalam kesukaran mendepani pandemik COVID-19 yang telah memberi impak yang sangat menggerunkan kepada rakyat dan ekonomi, Kerajaan kita masih cuba untuk memberikan yang terbaik kepada rakyat agar tempiasnya tidak terlalu dirasai.

“Tiga matlamat utama telah menjadi tunjang kepada Belanjawan 2021. Matlamat pertama adalah Kesejahteraan Rakyat, kedua adalah Kelangsungan Perniagaan dan yang ketiga adalah Ketahanan Ekonomi,” katanya dalam kenyataan berkaitan hal terbabit, hari ini.

Jelasnya yang juga Ahli Parlimen Padang Terap, pelbagai inisiatif telah diumumkan bagi merealisasikan matlamat pertama yang antaranya adalah kadar bantuan kebajikan bulanan telah dinaikkan antara RM50 hingga RM150 sebulan.

“Selain itu, Bantuan Prihatin Nasional yang telah menelan belanja RM 21 bilion sepanjang tahun 2020 akan diteruskan bagi tahun 2020 dan pengeluaran simpanan KWSP daripada Akaun 1 turut diteruskan sebanyak RM500 sebulan untuk tempoh 12 bulan.

“Golongan petani, peladang dan nelayan juga tidak ketinggalan apabila RM 1.7 bilion diperuntukkan dalam bentuk subsidi, bantuan dan insentif. Program peningkatan kemahiran dan latihan semula atau ‘reskilling and upskilling’ turut mendapat perhatian apabila sejumlah RM1 bilion bakal diperuntukkan bagi tahun 2021.

“Agenda pemerkasaan Bumiputera tidak dilupakan apabila RM11.1 bilion akan dibelanjakan sepanjang tahun hadapan, iaitu peningkatan sebanyak RM 3.1 bilion berbanding tahun sebelum ini.”

Bagi kaum Cina pula, jelas beliau yang merujuk kepada pembentangan yang telah dilakukan, sejumlah RM177 juta disediakan untuk program pendidikan, rumah dan kemajuan kampung baru sementara bagi kaum India, sebanyak RM100 juta diperuntukkan melalui Unit Transformasi India bagi memperkasa kedudukan sosioekonomi komuniti India.

“Kerajaan juga akan meneruskan usaha mengurangkan jurang pembangunan bandar dan luar bandar melalui peruntukkan RM2.7 bilion dengan perlaksanaan pelbagai program dan projek penambahbaikan infrastruktur luar bandar. Usaha kerajaan yang terus memperkasa bidang TVET juga harus dipuji apabila RM6 bilion diperuntukkan.”

Terang beliau, bagi merealisasikan matlamat kedua pula, Kerajaan telah memberi fokus kepada usaha memacu pelaburan, memperkukuh sektor-sektor tumpuan dan memudah akses perniagaan.

“Matlamat ketiga Belanjawan 2021 pula menyaksikan Kerajaan menjajarkan belanjawan ini kepada keutamaan dasar Rancangan Malaysia Ke-12 dan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030. Ini bagi memastikan pembangunan sosioekonomi yang inklusif dan bermakna ke arah sebuah masyarakat yang lebih makmur dan bermaruah menjelang tahun 2030.

“Semoga berkat kesepakatan kita semua mampu memajukan kembali ekonomi negara dan memperkasaan taraf kehidupan yang telah dibadai pandemik COVID-19.” – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.