Benarkan Keluarkan KWSP, Jangan Abaikan Masalah Rakyat – Zahida

KUALA LUMPUR, 5 Nov – Menjelang Belanjawan Negara 2021 yang bakal dibentangkan eso, Pergerakan Puteri UMNO konsisten mahukan tempoh moratorium dilanjutkan untuk tempoh enam bulan atau sebahagian daripadanya.

Kata ketuanya, Datuk Zahida Zarik Khan, ini adalah seperti kenyataan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini termasuklah membenarkan pengeluaran sejumlah wang daripada akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

“Dalam pembentangan #Bajet2021 Jumaat ini, saya dimaklumkan kemungkinan kerajaan tidak akan benarkan pengeluaran KWSP seperti yang diperlukan rakyat dalam situasi COVID-19 sekarang ini,” katanya dalam kenyataan pendek menerusi laman facebooknya.

Jelasnya, hasil survey menunjukkan lebih 80 peratus pencarum memerlukan pengeluaran tersebut.

Terdahulu, dilaporkan bahawa ahli-ahli Parlimen BN yang terdiri daripada 43 orang telah bersetuju sebulat suara akan terus memberi sokongan tanpa berbelah bagi ke atas Belanjawan 2021 kerajaan namun mohon dipertimbangkan dua perkara tersebut iaitu melanjutkan tempoh moratorium dan meluluskan pengeluaran sejumlah wang daripada KWSP.

Esok, dijadualkan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz akan membentangkan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.