Belanjawan 2021: Pertimbang Permohonan Rakyat Yang Mesti Disegerakan – Shahidan

KUALA LUMPUR, 5 Nov – Menjelang pembentangan Belanjawan 2021 oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz di Dewan Rakyat esok, Pengerusi Majlis Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PNBBC), Datuk Seri Shahidan Kassim mengemukakan cadangan supaya dapat dipertimbangkan permohonan rakyat yang mesti disegerakan.

Beliau percaya dengan kandungan Belanjawan 2021 yang baik akan memberi manfaat serta kesejahteraan kepada rakyat dan sudah semestinya akan mendapat sokongan oleh semua Ahli Parlimen seperti yang dititah Yang di-Pertuan Agong.

“Semua pihak termasuk pembangkang telah menyatakan Daulat Tuanku kepada DYMM Agong atas titah baginda kepada beberapa perkara yang berlaku baru-baru ini. Saya yakin dengan izin Allah bajet pada tahun ini akan mendapat sokongan yang hebat daripada semua ahli-ahli parlimen PN dan bukan PN,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Berikut adalah cadangan PNBBC yang mesti disegerakan:

1. Kerajaan perlu menyegerakan semua bantuan tunai kepada rakyat seperti yang dilaksanakan di bawah BR1M semasa BN memerintah dahulu. Kerajaan boleh menangguh perkara-perkara lain tetapi bantuan tunai kepada rakyat mesti disegerakan tanpa berlengah lagi.

2. Beri perhatian kepada kumpulan minoriti dan terutamanya Orang Asli yang sebelum ini hidup dalam kesusahan dan lebih terkesan akibat pandemik Covid-19 melanda negara.

3. Kerajaan perlu meneruskan semua projek pembangunan dan infrastruktur dalam keadaan pihak swasta tidak meneruskan aktiviti ekonomi dengan rancak seperti sebelum Covid-19 bagi menjamin kesejahteraan rakyat. Projek-projek yang dilaksanakan mestilah berimpak tinggi terutamanya pembangunan di luar bandar khusus kepada pembinaan jalan dan bekalan air bersih. Ini kerana projek mega kadang-kadang hanya akan menguntungkan sesetengah pihak dan bukannya rakyat secara menyeluruh. Namun semuanya diperlukan kalau kerajaan mampu.

5. Kerajaan wajar pertimbangkan pemberian khusus bantuan kepada nelayan dan pesawah yang terkesan teruk dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu ketika ini. Kerajaan PH telah menghentikan bantuan tersebut. Kerajaan PN kena timbangkan semula.

6. Kerajaan diminta beri insentif kepada penghantar makanan dan barangan yang cukup aktif dan membantu semasa PKP sehingga sekarang.

7. Kerajaan disarankan mewujudkan peluang pekerjaan kepada semua terutamanya bagi lepasan sekolah dan Universiti.

8. Memohon peruntukan yang lebih diberikan kepada NGO terutama yang melibatkan alam sekitar dan penjagaan hutan. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.