Belanjawan 2021 Mestilah Mengutamakan Rakyat, Kerajaan Wajib Bantu – Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR, 5 Nov – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berharap agar Belanjawan 2021 yang bakal dibentangkan esok mestilah mengutamakan rakyat.

Katanya, negara ini kosong tanpa rakyat dan rakyat yang membina Malaysia ini maka ketika rakyat susah, kerajaan wajib membantu.

“Bajet 2021 mestilah utamakan rakyat, bantu, prihatin dan membela rakyat terutama yang susah akibat COVID-19. Menteri Kewangan, Tengku Zafrul (Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz) dengar dan penuhilah permintaan rakyat,” katanya.

Ahmad Maslan yang juga Ahli Parlimen Pontian berkata demikian menerusi ciapan di Twitternya menjelangnya sesi pembentangan Belanjawan Negara 2021 yang akan dilaksanakan di sidang Parlimen esok.

Dilaporkan semalam, Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan ahli-ahli Parlimen BN yang terdiri daripada 43 orang telah bersetuju sebulat suara akan terus memberi sokongan tanpa berbelah bagi ke atas Belanjawan 2021.

Namun demikian, ahli-ahli Parlimen BN mohon dipertimbangkan dua perkara iaitu melanjutkan tempoh moratorium untuk tempoh 6 bulan atau sebahagian daripadanya dan meluluskan untuk pengeluaran sejumlah wang daripada Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Terdahulu, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz turut memberi jaminan bahawa Belanjawan 2021 yang bakal dibentangkan ini akan terus menumpukan aspek kelangsungan ekonomi bagi memastikan momentum pemulihan ekonomi itu dapat dikekalkan selain turut sentiasa memantau perkembangan semasa dan bersedia untuk menambah peruntukan bagi memerangi penularan Covid-19 sekiranya diperlukan. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.