UMNO Harap Lebih 140 Cadangan Bantu Rakyat Dipertimbangkan Dalam Belanjawan 2021

KUALA LUMPUR, 4 Nov – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berharap kerajaan akan mempertimbangkan kalau tidak semua lebih separuh dari lebih 140 cadangan berkaitan pembelaan rakyat yang UMNO kemukakan kepada Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz pada Ahad lalu untuk dimasukkan ke dalam Belanjawan 2021.

Jelasnya lagi beliau turut menyampaikan lapan cadangan pihak CUEPACS bagi membela nasib penjawat awam.

Dari 140 cadangan yang dikemukakan UMNO, beliau berkata terdapat 10 cadangan utama untuk memastikan peningkatan aliran tunai rakyat yang mampu menggalakkan pertumbuhan ekonomi di kala negara berhadapan dengan krisis pandemik COVID-19.

Sepuluh cadangan utama tersebut ialah;

1. Lanjutan tempoh moratorium secara pukal untuk sekurang-kurangnya dalam tempoh 3-6 bulan lagi.

2. Memberi kebenaran untuk pengeluaran Akaun 1 KWSP sekurang-kurangnya RM5,000.

3. Yuran percuma kepada para pelajar Universiti Awam oleh kerana tiada sesi pengajaran dan pembelajaran di kampus Universiti.

4. Bantuan Bulanan E-Wallet sebanyak RM50 sebulan selama 12 bulan kepada pelajar Universiti Awam dan Swasta untuk pembelian data telefon mudah alih bagi tujuan pembelajaran secara dalam talian (on-line).

5. Bayaran khas sekurang-kurangnya RM500 kepada ibu-bapa bagi meringankan perbelanjaan sesi persekolahan tahun 2021.

6. Melanjutkan tempoh penangguhan bayaran balik pinjaman PTPTN hingga Disember 2021. Cash rebate sebanyak 30 peratus bagi peminjam PTPTN yang terus membayar pinjaman sepanjang wabak COVID-19.

7. Melonggarkan syarat pinjaman serta memudahkan proses pinjaman perniagaan di Tekun Nasional, Amanah Ikhtiar Malaysia, SME Corp atau mana-mana agensi berkaitan untuk peniaga kecil dan sederhana (PKS). Kerajaan disarankan untuk memberi bantuan geran RM5,000 kepada syarikat yang berkelayakan melalui Geran Khas Prihatin Perniagaan (GKP).

8. Insentif subsidi upah RM600 sebulan selama 12 bulan kepada syarikat yang menggaji graduan dan belia yang di ambil bekerja.

9. Meningkatkan geran reskilling kepada pekerja sektor pelancongan (perhotelan, penerbangan, dan lain-lain) untuk membantu mendapat pekerjaaan sektor lain.

10. Bayaran khas bulanan kepada Penjawat Awam Barisan Hadapan (frontliners) sehingga berakhirnya pandemik COVID-19 atau berada di tahap minimum.

Beliau turut menambah selain itu turut dicadangkan ialah mengurangkan projek ratusan juta sebaliknya pecahkan kepada puluhan juta agar rakyat dapat manfaat, agihkan peruntukan kepada kawasan yang lebih memerlukan, agihkan juga peruntukan kepada kementerian yang lebih perlu seperti kesihatan dan kebajikan.

Selain itu katanya belanjawan yang dibentangkan perlu cipta peluang pekerjaan dalam pelbagai sektor, tumpu kepada pendidikan dan kemahiran tinggi, tingkatkan eksport, keusahawan dan E Dagang perlu ditingkatkan di samping peruntukan untuk belia dan wanita niaga.

“Belanjawan yang dibentangkan juga mesti terarah untuk menghapuskan kemiskinan desa dan bandar.

“Dicadangkan juga untuk menaikkan bantuan BSH kepada RM3,000 kepada golongan B40, kurangkan kos hidup rakyat dengan pelbagai kaedah. Juga berikan satu kenaikan gaji tahunan #KGT tambahan kepada penjawat awam,” ujarnya kepada UMNO Online di sini.

Mengenai cadangan CUEPACS pula, beliau yang juga Ahli Parlimen Pontian berkata meskipun penjawat awam menerima gaji bulanan namun ramai pasangan penjawat awam sama ada suami atau isteri yang telah kehilangan pekerjaan.

“Mereka ini juga perlu dibantu. Terdapat 1.6 juta penjawat awam juga terkesan dengan COVID-19 ini. Maka mereka ini juga perlu dibantu sebagaimana kita membantu rakyat yang lain.

“Justeru hasil pertemuan kita bersama CUEPACS, kita juga membawa suara dan harapan mereka untuk dipertimbangkan kerajaan dalam Belanjawan 2021 nanti,” katanya.

Beliau seterusnya yakin ratusan cadangan untuk membantu rakyat yang dikemukakan UMNO akan diberi perhatian serius kerajaan.

“Sebagai parti yang secara tradisinya sentiasa membela rakyat, kita amat berharap belanjawan yang akan dibentangkan Jumaat ini bukan sahaja akan merangsangkan ekonomi negara malah yang lebih penting memastikan kesejahteraan rakyat.

“Insya-Allah ada banyak yang akan menggembirakan rakyat Jumaat ini. Kalau tidak semua sekurang-kurangnya lebih separuh dari yang UMNO sampaikan dapat diterima,” ujarnya.- UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.