Rakyat Harapkan Belanjawan 2021 Keluar Daripada Kemelut 2020 – Wanita UMNO

KUALA LUMPUR, 4 Nov – Bajet 2021 yang bakal dibentangkan oleh Kerajaan Perikatan Nasional, Jumaat ini adalah bajet yang sangat diharapkan oleh seluruh rakyat yang akan dapat membantu mereka keluar dari kemelut 2020.

Ketua Penerangan Wanita UMNO, Datuk Norshida Ibrahim berkata inisiatif Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz bertemu dengan pelbagai kelompok termasuklah wakil rakyat daripada UMNO serta Wanita UMNO Malaysia sendiri merupakan satu langkah yang baik dalam usaha mendapatkan segala input, strategi dan perkara terbaik untuk rakyat yang terdiri dari pelbagai etnik dan kaum di Malaysia.

“Bajet 2021 ini seharusnya memfokuskan kepada perbelanjaan membantu rakyat yang terdiri daripada semua golongan tetapi keutamaan patut diberikan kepada golongan B40 dan juga M40.

“Selain itu, ia juga perlu difokuskan kepada sektor ekonomi yang lain seperti sektor industri, peniaga kecil di jalanan, peniaga kedai makan, penggunting rambut dan lain-lain lagi.

“Bajet 2021 ini perlu berteraskan ‘prihatin rakyat’ dengan memberi keutamaan strategi terbaik membantu rakyat yang hilang pekerjaan dan kurang punca pendapatan akibat pandemik COVID-19,” katanya kepada UMNO-Online, di sini, hari ini.

Seterusnya, Norshida turut mengharapkan belanjawan pertama kerajaan Perikatan Nasional itu menjadi bajet yang mengurangkan segala kerenah birokrasi dan persepsi.

“Hal ini kerana bajet yang akan dibentangkan ada pelbagai bantuan tetapi bantuan tersebut tidak mungkin ‘tercapai’ oleh penduduk luar bandar akibat pelbagai kerenah birokrasi setiap peringkat.

“Adalah sia-sia sekiranya segala yang diumumkan kelihatan bunyinya indah dan memberi manfaat tetapi gagal akhirnya akibat pemimpin yang khianat oleh birokrasi,” tegasnya.

Jelasnya lagi, pandemik COVID-19 dan ketidakstabilan politik telah memberi kesan buruk kepada ekonomi negara di mana rakyat marhaen menjadi mangsa.

“Maka bajet ini harus menjadi nadi utama mengurangkan kesusahan dan penderitaan seluruh rakyat Malaysia.

“Semoga segala impian dan harapan rakyat terhadap Bajet 2021 mampu mengubat segala derita kesusahan dan bukannya untuk menambah lagi duka hati rakyat yang semakin kesempitan hidup,” katanya.

Justeru Norshida berharap Bajet 2021 itu nanti juga bakal membuktikan komitmen kerajaan Perikatan Nasional dalam memastikan kesalinghubungan berterusan sekaligus membolehkan rakyat melaksanakan tugasan hariannya dengan lebih efisien. – UMNO ONLINE

Oleh: Azman Abas

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.