Blok Pembangkang Kesal Usul Pakai Baju Kebangsaan Di DUN Selangor Ditolak

SHAH ALAM, 4 Nov – Blok pembangkang Selangor menyatakan kekesalan apabila Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor hari ini menolak usul berkaitan tatacara pakaian yang hanya membenarkan baju kebangsaan (baju Melayu bersampin dan bersongkok) pada hari Jumaat sahaja.

Usul dibawa Ketua Pembangkang, Rizam Ismail di bawah Peraturan 43, Peraturan-Peraturan Tetap Bagi Sidang DUN 1965 agar dewan mempertimbangkan semula keputusan dari Speaker.

Rizam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Air Tawar berkata, pihaknya membawa usul tersebut adalah berikutan mahu dewan memberi kebenaran membenarkan pemakaian baju kebangsaan tanpa dihadkan pada Jumaat sahaja.

“Ini adalah baju kebangsaan dan Parlimen yang merupakan dewan tertinggi juga membenarkan pemakaian baju ini tanpa dihadkan pemakaiannya.

“Perkara ini telah dibawa ke dewan tetapi kesal kerana usul terpaksa ditolak kerana tidak mendapat sokongan satu pertiga ahli Dewan.

“Oleh demikian, tiada cara lain untuk kita dibenarkan memakai baju kebangsaan selain menukar kerajaan pada masa akan datang,” katanya dalam sidang akhbar di lobi Bangunan Annex di sini hari ini.

Terdahulu, Speaker DUN Selangor, Ng Suee Lim menolak usul dibawa Rizam kerana tidak mendapat sokongan ahli dewan yang mana hanya 10 ADUN sahaja menyokong berbanding 19 ahli atau satu pertiga sokongan diperlukan bagi sesuatu usul diluluskan.

Sembilan ADUN yang menyokong usul dibawa Rizam ialah lima individu iaitu ADUN Sungai Panjang, Datuk Mohd. Imran Tamrin; Zakaria Hanafi (ADUN Semenyih); Datuk Dr. Ahmad Yunus Hairi (ADUN Sijangkang) dan Rosni Sohar (ADUN Hulu Bernam).

Turut menyokong usul tersebut ialah ADUN Kuang, Sallehudin Amiruddin; Haniza Talha (ADUN Lembah Jaya); Daroyah Alwi (ADUN Sementa); Muhammad Hilman Idham (ADUN Gombak Setia) dan Mohd. Shaid Rosli (ADUN Jeram).

Sementara itu, Imran berkata, pihaknya kesal kerana usul dibawa untuk dibahaskan berhubung keputusan speaker, tetapi malangnya Suee Lim sendiri mempengerusikan keputusan tersebut.

Menurutnya, pihaknya kesal kerana ahli dewan lain yang tidak peka dan tidak rasa kepentingan untuk membahaskan usul yang dibawa.

“Usul ini dibawa untuk mencabar keputusan speaker. Sepatutnya usul ini dibahaskan dan kalau nak di undi dan tidak lulus selepasnya terpulang, namun amalan dilakukan speaker tidak tahu berkenaan pelaksanaan mesyuarat.

“Speaker tahu peraturan ini mencabar keputusan yang dibuat dan tidak sewajarnya beliau mempengerusikan mesyuarat untuk mendengar dan mencabar keputusan tersebut,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE