Belanjawan 2021 Perlu Bersifat ‘Luar Biasa’ – Nicole

KUALA LUMPUR, 4 Nov – Ketua Pemuda MCA, Datuk Nicole Wong berkata Belanjawan 2021 yang akan dibentang pada Jumaat, 6 Nov ini perlu bersifat ‘luar biasa’.

Ini katanya demi menyelamatkan rakyat, pekerjaan, perniagaan serta perusahaan kecil dan sederhana.

“Belanjawan kali ini adalah yang paling penting dalam sejarah Malaysia.

“Ia amat berbeza kerana COVID-19 merupakan krisis terburuk yang belum pernah dialami, tidak hanya di Malaysia malah pada peringkat global,” tulisnya dalam satu status di Facebook.

Ulasnya juga, tahun ini merupakan tahun yang benar-benar mencabar untuk semua.

“Perubahan yang amat ketara boleh dilihat dalam pelbagai lapisan masyarakat.

“Ada yang hilang pekerjaan, hilang pendapatan, terpaksa tutup perniagaan… kini terpaksa mempertimbangkan pilihan untuk guna wang simpanan kat KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja),” tambahnya lagi.

Dalam media sosialnya itu, Nicole turut memuat naik laporan dari sebuah portal yang tular semalam bagaimana seorang Juruterbang Kapten Azrin Mohamad Zawawi mengendalikan gerai Kapten Corner miliknya di Boom Town USJ 11, Subang Jaya yang dipercayai ‘menyambung’ hidup mencari rezeki dari dunia penerbangan ke gerai di jalanan.

“Memang kehidupan manusia tidak selalunya mengikut apa yang dirancangkan. Kita perlu tabah, dan jangan berputus asa,” katanya lagi.

Untuk rekod, Ahad lalu UMNO telah mengemukakan lebih 140 cadangan kepada Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz untuk dimasukkan ke dalam Belanjawan 2021.

Daripada 140 cadangan yang dikemukakan UMNO, terdapat sepuluh cadangan utama untuk memastikan peningkatan aliran tunai rakyat yang mampu menggalakkan pertumbuhan ekonomi di kala negara berhadapan dengan krisis pandemik COVID-19.

Antaranya adalah melanjutkan tempoh moratorium secara pukal untuk sekurang-kurangnya dalam tempoh tiga hingga enam bulan lagi dan memberi kebenaran untuk pengeluaran Akaun 1 KWSP sekurang-kurangnya RM5,000.

Jumaat ini, Tengku Zafrul akan membentangkan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat. – UMNO ONLINE

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.