UMNO Beaufort Buat Rombakan Kecil Kepimpinan, Perkukuhkan Bahagian

BEAUFORT, 3 Nov – UMNO Bahagian Beaufort membuat sedikit rombakan struktur kepimpinannya ekoran beberapa jawatan tertinggi UMNO bahagian itu telah dikosongkan sebelum ini.

Pemangku Ketua UMNO Bahagian, Awang Aslee Lakat berkata, rombakan hanya melibatkan beberapa jawatan utama yang telah dikosongkan ekoran tindakan dua penyandang utama sebelum ini Ketua UMNO bahagian dan Timbalannya meletakkan jawatan kerana bertanding sebagai calon Bebas dan Parti Cinta Sabah (PCS) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) baru-baru ini.

“Hanya sedikit rombakan kecil. Ianya tidak melibatkan keseluruhan jawatan, hanya jawatan yang kosong yang perlu diisi bagi melicinkan urusan jentera pentadbiran UMNO bahagian ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyampaikan bakul makanan sumbangan UMNO bahagian kepada ketua-ketua cawangan Pemuda, Wanita dan Puteri UMNO yang terkesan dengan penularan pandemik COVID-19, dekat sini baru-baru ini.

Hadir sama Ketua Wanita UMNO bahagian, Datuk Siti Hajah Aminah Aching, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Mohd Fadzli Misdeh dan Ahli Jawatankuasa UMNO empat peringkat.

Sementara itu bekas Ahli Jawatankuasa Pergerakan Pemuda UMNO bahagian Beaufort Abdul Rahman Mohd Taib dilantik menjadi Setiausaha UMNO bahagian Beaufort yang baharu.

“Setakat ini kita sudah melantik Setiuasaha UMNO bahagian selebihnya jawatan yang kosong akan kita isi kemudian,” jelas Awang Aslee.

Dalam perkembangan yang sama Awang Aslee yang juga berkata UMNO Beaufort akan terus berfungsi di mana momentum kesetiaan ahli-ahlinya masih kukuh untuk terus berjuang memperkasakan UMNO di bahagian itu.

“PRN telah berlalu, tumpuan kita adalah untuk terus memperkasakan UMNO bahagian ini bagi menghadapi cabaran akan datang terutamanya untuk menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang,” ujarnya lagi.

Sambil menghargai dan berterima kasih atas kepercayaan pucuk pimpinan UMNO khususnya Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin yang melantik beliau sebagai Pemangku Ketua UMNO bahagian, Awang Aslee yang juga Penolong Setiausaha UMNO Sabah berharap sokongan berterusan ahli-ahli UMNO di peringkat akar umbi khususnya di bahagian itu perlu diteruskan.

“Kepercayaan pucuk pimpinan untuk melantik saya sebagai pemangku Ketua bahagian merupakan amanah yang perlu digalas bersama, tanpa sokongan dari semua pihak kepimpinan bahagian, Wanita, Pemuda dan Puteri sudah tentu sukar saya melaksanakan tanggungjawab ini,” katanya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.