UMANY Melampau, Biadap… Tindakan Tegas Perlu Dikenakan Segera – UMNOSiswa

KUALA LUMPUR, 3 Nov – Kelab Mahasiswa UMNO Malaysia (UMNOSiswa) melihat tindakan demi tindakan yang dilakukan oleh UMANY sejak kebelakangan ini sebagai satu tindakan yang sangat melampau.

Ujar Presidennya, Mubarak Kunyi, tindakan yang dilakukan oleh mereka bukan sahaja mencemarkan imej Universiti Malaya (UM) tetapi juga turut mencabar Perlembagaan Persekutuan.

“UMNOSiswa berpendapat perlunya jalan penyelesaian bagi memastikan perkara ini tidak timbul lagi dan ianya bukan sahaja melibatkan UMANY tetapi juga turut melibatkan mana-mana pihak yang cuba untuk melakukan tindakan yang sama,” katanya dalam satu kenyataan.

Sehubungan itu, tambah Mubarak, UMNOSiswa mendesak semua pihak untuk mengembalikan budaya akademik berpaksikan kepada Perlembagaan Persekutuan.

“Kita dapat lihat pada hari ini, wujudnya satu budaya akademik yang sentiasa cuba untuk mencabar Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang tertinggi di Malaysia.

“Setiap hari akan ada pihak yang mempertikaikan Perkara-Perkara yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dengan sesuka hati tanpa menelitinya dengan mendalam. Bahkan ada yang cuba memutarbelitkan Perkara yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan mengikut selera mereka,” katanya.

Jelas Mubarak lagi, begitu juga dengan mewujudkan nilai hormat dan menonjolkan jiwa UM yang sebenar.

“Tindakan yang dilakukan oleh UMANY sejak kebelakangan ini sedikit sebanyak telah menghilangkan rasa hormat sesetengah pihak terhadap UM itu sendiri. UM sebagai sebuah institut pengajian tinggi berprestij di negara ini tidak sepatutnya dicemari dengan tindakan yang tidak bertanggungjawab yang telah ditunjukkan oleh UMANY.

“UMNOSiswa juga mendesak agar pihak UM di bawah pentadbiran Naib Canselor yang baharu untuk mengambil tindakan terhadap UMANY. Hal ini kerana, mereka telah jelas mempertikaikan institusi Raja Berpelembagaan yang pada hakikatnya sudah memainkan peranan yang cukup besar dalam mengekalkan kestabilan di negara kita,” ujarnya.

Ulasnya lagi, UMNOSiswa juga bersedia untuk bekerjasama dengan mana-mana gerakan mahasiswa di kampus bagi menangani isu UMANY ini dan juga menolak politik songsang.

“Mempertikai peranan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, mengangkat plakad tanda bantahan ketika majlis konvokesyen yang dijalankan dengan penuh adab dan tertib serta pelbagai lagi tindakan songsang yang dilakukan oleh UMANY tidak melambangkan imej mahasiswa yang sepatutnya ditunjukkan.

“Perbuatan seperti ini tidak boleh dibiarkan lagi dan perlu segera ditangani sebelum nasi menjadi bubur,” tegasnya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.