Ringankan Beban Rakyat, Kenapa Wujud Tindakan ‘Double Standard’?

KUALA LUMPUR, 3 Nov – Kenapa kerajaan ‘Double Standard’ dalam hal melibatkan mengurangkan beban rakyat? Itu persoalan yang diutarakan oleh Naib Ketua Pemuda UMNO Selangor, Amin Shukor.

Jelas beliau, sekiranya kerajaan mampu memberi suntikan dana melalui pinjaman sebanyak RM1 bilion kepada Air Asia, mengapa rakyat tidak boleh mengeluarkan wang mereka sendiri di Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

“Sebenarnya rakyat faham berkaitan pengeluaran KWSP. Rakyat juga sedar bahawa itu adalah simpanan hari tua dan kerana itu bukan semua wang tersebut hendak dikeluarkan.

“Di kala negara dilanda pandemik COVID-19, ekonomi rakyat memang terhimpit. Mungkin ramai pemimpin yang tidak merasa bagaimana kehidupan rakyat bawah B40 khususnya miskin tegar yang benar-benar terhimpit dan terpaksa ikat perut.

“Kerana itulah mereka merasakan bahawa pengeluaran wang KWSP ini mampu membantu mereka bukan hanya untuk kehidupan harian tetapi juga untuk mereka memulakan sesuatu yang lebih baik contohnya modal perniagaan bagi kelangsungan hidup,” ujar beliau kepada UMNO-Online.

Tambah Amin yang juga merupakan Ketua Pemuda UMNO Damansara, walaupun kerajaan telah memberi kemudahan pengeluaran caruman akaun dua KWSP sebanyak RM500 selama 12 bulan berkuat kuasa 1 April lalu bagi membantu meringankan beban ditanggung rakyat namun ianya tidak mencukupi bagi sesetengah golongan.

“Idea pengeluaran KWSP ini sebenarnya boleh diperhalusi oleh kerajaan. Tidak semestinya amaun RM10 ribu.. ianya boleh dikurangkan tetapi konsisten untuk beberapa bulan. Contohnya RM1 ribu setiap bulan untuk tempoh 5 bulan.

“Sudah pasti keprihatinan kerajaan ini akan melegakan rakyat yang benar-benar memerlukan, lagipun ini adalah wang rakyat… sekarang mereka memerlukan wang tersebut jadi tolonglah pertimbangkan sebaiknya.

“Janganlah kera di hutan disusukan tetapi anak di rumah mati kelaparan,” bidas beliau.

Amin turut mempersoalkan apakah kepentingan dan keutamaan Air Asia sehingga masalah rakyat dikesampingkan.

Untuk rekod, AirAsia Group Bhd mendapat suntikan dana melalui pinjaman sebanyak RM1 bilion (AS$242 juta) daripada kerajaan bagi membantu syarikat penerbangan itu pulih dari kejatuhan disebabkan pandemik COVID-19.

Memetik laporan Nikkei Asia, berdasarkan sumber kementerian dan syarikat penerbangan, kerajaan dikatakan sudah pun meluluskan pinjaman itu.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pula berkata, sukar bagi kerajaan membenarkan pengeluaran wang akaun 1 caruman KWSP bagi digunakan rakyat yang berdepan wabak COVID-19.

Jelas Muhyiddin, sukar untuk kerajaan menimbangkan perkara berkenaan (benarkan pengeluaran wang akaun 1 KWSP), bukan kerana kerajaan tidak mahu tetapi kerajaan telah menyediakan berbilion ringgit bagi membantu rakyat dan sekiranya kerajaan membenarkan perkara ini dilaksanakan maka rakyat akan menghadapi masalah lebih besar pada masa hadapan. – UMNO ONLINE

Oleh: Azlina Rosdy

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.