Pengeluaran KWSP Terus Jadi Harapan Pelbagai Pihak – Najmil

KUALA LUMPUR, 3 Nov – Cadangan agar kerajaaan memberi kebenaran kepada para pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk melakukan pengeluaran di saat negara berdepan dengan pandemik COVID-19 terus disuarakan oleh pelbagai pihak.

Sebelum ini pelbagai cabang dan kumpulan termasuklah dari kalangan individu yang masing-masing menggunakan platform baik menerusi media sosial atau menggunakan salurah politik telah menyatakan perkara berkenaan agar kerajaan memberi kelonggaran kepada para pencarum untuk melakukan pengeluaran.

Tidak ketinggalan, Exco Pemuda UMNO, Datuk Dr Najmil Faiz Mohamed Faris turut menyatakan perkara yang sama apabila sekali lagi menyatakan hasratnya agar kerajaan Perikatan Nasional yang dipimpin oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pertimbangkan semula pengeluaran simpanan dan caruman rakyat dalam akaun satu KWSP.

“Pada suku tahun berakhir 31 Mac 2020, KWSP meraih pendapatan pelaburan kasar sebanyak RM12.16 bilion melalui pelaburan dalam pelbagai sektor.

“Naratifnya mudah, setelah ekonomi bertambah baik, kerajaan perlu mengutamakan KWSP dalam pemberian projek-projek mega untuk meningkatkan semula baki akaun KWSP,” katanya kepada UMNO-Online.

Najmil yang juga Timbalan Ketua UMNO Kuala Terengganu seterusnya berkata semasa pemerintahan kerajaan Barisan Nasional (BN), di bawah Program Transformasi Ekonomi, KWSP dan Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) merupakan pemegang saham terbesar Dialog Group di Terminal Petroleum Laut Dalam Pengerang (PDPT).

“Sektor seperti inilah yang memberi keuntungan kepada KWSP dan keuntungan daripada pelaburan boleh digunakan untuk membantu pencarum pada masa hadapan.

“Sebab itulah negara memerlukan dasar strategik yang jelas supaya negara mempunyai pelbagai rancangan untuk menyelamatkan rakyat dan ekonomi. Kita tidak perlukan dasar ‘maaflah jika abah mula guna rotan’,’’ ujarnya. – UMNO Online

Oleh: Azman Abas

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.