Ikhlaskah Dap Nak Bela Melayu? Baju Kebangsaan Pun Dipertikai – Sharkar

TEMERLOH, 3 Nov – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin menimbulkan persoalan apakah sebenarnya yang cuba dimainkan oleh kerajaan negeri Selangor khususnya parti Dap.

Soalnya, bagaimanakah Dap berkata mereka membela nasib orang Melayu jika Baju Kebangsaan pun dipertikaikan.

“Perkara asas sebegini pun tidak dapat dijaga dan diuruskan dengan baik, bagaimana hendak diharapkan perkara yang lebih besar.

“Biarpun isu ini dianggap sebagai isu kecil, tapi ia memberikan kesan yang cukup besar kepada pemikiran orang Melayu di negara ini.

“Ini kerana, Baju Kebangsaan adalah identiti orang Melayu dan Malaysia dan ia perlu dipertahankan oleh orang Melayu dan dihormati oleh lain-lain kaum,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Tambah Exco Kerajaan Negeri Pahang itu lagi, jika asas tersebut pun Dap tidak mampu pertahankan, bagaimana Dap mahu mewujudkan kestabilan rakyat pelbagai kaum di negara tercinta ini.

“Adakah Dap selama ini hanya bersandiwara apabila mengatakan parti itu membela orang Melayu?” bidasnya lagi.

Sharkar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lanchang juga menimbulkan persoalan adakah kerajaan negeri Selangor memang tidak membenarkan wakil rakyatnya memakai Baju Kebangsaan pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor.

“Ataupun, adakah apa yang berlaku di Selangor itu hanya larangan dari Yang Dipertua DUN Selangor dari parti Dap, Ng Suee Lim?

“Apa masalahnya untuk wakil rakyat pembangkang di Selangor memakai Baju Kebangsaan?

“Di Dewan Rakyat pun tidak ada larangan pemakaian Baju Kebangsaan. Jika hadir berbaju Melayu lengkap atau Baju Kebangsaan ia dibenarkan,” katanya.

Ini kerana ulasnya lagi, Baju Kebangsaan adalah simbol yang perlu dijaga oleh semua rakyat terutama pemimpin negara atau negeri yang dipilih oleh rakyat.

“Jangan kata di Malaysia, sewaktu sukan Olimpik dan Sukan SEA pun Baju Kebangsaan dipakai. Ia tiada pula larangan dari negara tuan rumah,” tegasnya lagi. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.