Syor Belanjawan 2021 Tambah Peruntukan KKM… Pemulihan Ekonomi Tidak Relevan Jika COVID-19 Tular

KUALA LUMPUR, 2 Nov – Pergerakan Puteri UMNO melihat bahawa inisiatif pemulihan ekonomi akan menjadi tidak relevan jika pandemik COVID-19 yang bertular sekarang tidak ditangani dengan baik.

Sehubungan itu, ketuanya, Datuk Zahida Zarik Khan berkata langkah pertama didalam pemulihan ekonomi ini harus dimulakan dengan inisiatif-inisiatif tertentu yang dapat menangani pandemik COVID-19 ini dengan berkesan.

“Kerajaan telah mengumumkan beberapa inisiatif untuk memulihkan ekonomi yang telah dimasukkan didalam Belanjawan 2021 tersebut.

“Tidak logik jika wang berbillion ringgit dicurahkan tetapi negara terpaksa melalui ‘lockdown’ berterusan.

“Kerajaan harus memperkasakan KKM dengan penambahan jumlah kakitangan depan (frontliners) melalui tambahan kakitangan sementara bagi negeri yang teruk berdepan dengan pandemik ini, saperti Sabah,” katanya dalam kenyataan berkaitan hal tersebut yang disiarkan dalam laman facebooknya.

Ujarnya, sekarang ini banyak kakitangan KKM di negeri-negeri hijau seperti Kelantan telah di hantar ke Sabah untuk memerangi pandemik ini.Ini hanya langkah sementara.

“Makmal pengesanan pandemik bekerja lebih masa. Adalah dilaporkan, makmal-makmal telah membuat lebih daripada had kemampuan mereka. KKM merekodkan kadar pengesanan (test) pada kadar 106% kemampuan.

“Apakah maksud ini? Mereka bekerja dan melakukan saringan lebih daripada had yang mampu dibuat oleh kakitangan dan peralatan sedia ada.Ini amalan kurang baik jika dilakukan berterusan.

“Saya syorkan dalam bajet 2021 ini, peruntukan kepada KKM ditambah lebih daripada biasa. Mungkin penambahan bajet sebanyak 20%-30% patut disyorkan untuk penambahan kakitangan dan juga pembelian peralatan tambahan,” katanya.

Tegas beliau lagi, imbuhan dan pampasan yang setimpal dan luar biasa diberikan kepada mana-mana ‘frontliners’ kemalangan, terjangkit atau kehilangan jiwa ketika menjalankan tugas. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.