Rekonsiliasi Nasional: UMNO Fokus Kepada Rakyat, Belanjawan 2021 Jadi Harapan

KUALA LUMPUR, 2 Nov – Ketua Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan, Mohamed Nizham Abdullah Hamidi berkata, UMNO perlu terus fokus kepada rakyat dalam memastikan parti keramat ini terus utuh dan mendapat kepercayaan bukan hanya bangsa Melayu tetapi rakyat berbilang kaum di negara ini.

Ujar beliau, kerana itulah keputusan Majlis Kerja Tertinggi UMNO adalah untuk terus kekal konsisten berpegang teguh kepada pentingnya gencatan politik dan rekonsiliasi nasional demi mendepani wabak COVID-19, menjaga kebajikan rakyat, keamanan negara dan kestabilan politik harus disahut oleh semua peringkat termasuklah memberi fokus kepada Belanjawan 2021.

“Sebagai pemimpin muda, saya juga menyokong keputusan UMNO untuk memperhalusi pelbagai pandangan dan harapan rakyat mengenai Belanjawan 2021 untuk diangkat kepada Kerajaan termasuklah isu perlanjutan tempoh moratorium, bantuan sara hidup kepada rakyat yang hilang punca pendapatan akibat COVID-19, bantuan kepada belia yang menganggur, bayaran khas kepada barisan hadapan (frontliners) dan beberapa inisiatif untuk meningkatkan pengembangan ekonomi negara.

“Ini kerana, pandemik COVID-19 telah memberi impak negatif dalam pelbagai perkara. Bakal graduan sudah pasti sukan untuk mendapatkan pekerjaan, yang ada pekerjaan pula kehilangan kerja dan ini menyebabkan ramai tiada sumber pendapatan.

“Sebagai sebuah parti yang sentiasa mendengar denyut nadi rakyat, sudah pasti kita harus memberi fokus kepada kebajikan rakyat dan kestabilan ekonomi. Ini semua penting kerana rakyat akan menilai dan melihat UMNO benar-benar sebuah parti yang boleh diharap dan digantungkankan harapan,” ujar beliau kepada UMNO Online.

Mengulas berkaitan isu timbalan perdana menteri yang hangat diperkatakan pula, Nizham berkata, isu ini tidak perlu dijadikan polemik politik berlebihan malah ia perlu diterjemahkan melalui budi bicara dan keikhlasan di dalam parti-parti yang mendokong permuafakatan.

“Apa juga keputusan harus dibuat mengikut lunas Perlembagaan negara dan fokus kepada pakej ransangan ekonomi pasca COVID-19.

“Namun saya yakin, UMNO telah menyusun strategi terbaik dalam memastikan parti keramat ini terus utuh dan tidak tersasar dari landasan untuk m menang dalam Pilihan Raya Umum-15 (PRU-15),” ujar beliau lagi. – UMNO ONLINE

Oleh: Azlina Rosdy

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.