Langkah Jangka Panjang Perlu Sekiranya Pandemik COVID-19 Berterusan – Shabery

KUALA LUMPUR, 2 Nov – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek melihat situasi hari ini yang rata-rata berdepan dengan pandemik COVID-19 memberi kesan yang cukup mendalam kepada masyarakat pelbagai peringkat.

Menurut beliau hari ini juga umumnya dapat dilihat bagaimana pusat membeli belah-belah yang lengang dan masyarakat yang terhimpit dengan pelbagai tanggungan tersendiri.

‘’Kini banyak ‘mall’ atau pusat membeli belah lengang. Peniaga terpaksa terus membuka kedai walaupun tiada pelanggan. Sewa harus dibayar dan pekerja perlu digaji. Menutup perniagaan di saat ini juga ada kos tertentu yang mesti ditanggung.

‘’Tidak banyak ‘mall’ yang sedia merundingi terma baru sewa, kerana mereka juga kena tanggung kos lain seperti elektrik, air, kebersihan dan keselamatan. Selain pinjaman bank yang mesti  diservis. Kegawatan akan berjangkit kesemua sektor. Keperitan ekonomi akan memakan diri semua pihak,’’ katanya menerusi catatan di Facebooknya hari ini.

Tambah Ahmad Shabery lagi bajet popular seperti wang tunai, subsidi, ataupun pengeluaran akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sangat perlu untuk jangka pendek.

‘’Namun kita wajib memikirkan langkah jangka panjang sekiranya pandemik berterusan. Kepimpinan luar biasa diperlukan dalam saat yang luar biasa ini,’’ ujarnya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.