Cadangan Keluarkan Akaun 1 KWSP Disokong, Belanjawan 2021 Untuk Kebajikan Rakyat – Hairi

KUALA LUMPUR, 2 Nov – Cadangan supaya pencarum dibenarkan mengeluarkan simpanan dari Akaun 1 KWSP mereka secara ‘one off’ sehingga RM10,000 adalah cukup baik untuk dilaksanakan kerana rata-rata rakyat begitu terkesan dan terhimpit ekoran penularan COVID-19 di negara ini, tegas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Johor, Mohd Hairi Mad Shah.

Hakikatnya, jelas beliau, rakyat atau pencarum bukan hendak mengeluarkan keseluruhan simpanan sehingga boleh menjejaskan perancangan masa hadapan sebaliknya tidak melebihi RM10,000.

“Buat masa ini, kerajaan perlu memberikan keutamaan kepada rakyat, jadi bagi Pergerakan Pemuda UMNO Johor, kita menyokong cadangan itu, cuma ia perlu dilakukan secara bersyarat. Syaratnya adalah, pengeluaran RM10,000 itu dilakukan secara bersasar iaitu hanya kepada mereka yang memerlukan.


“Selain itu, pengeluaran bukan dibuat secara sepenuhnya ataupun ‘lump-sum’, tetapi dibayar secara bulanan. Mungkin RM2,000 setiap bulan untuk jangka masa selama lima bulan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terangnya, dengan cara itu, duit berkenaan dapat dibelanjakan oleh rakyat secara berhemah sekali gus membantu mengurangkan beban rakyat kerana keadaan ekonomi rakyat belum pulih ekoran penularan COVID-19 yang masih belum berakhir.

Walaupun begitu, beliau mengakui tentunya banyak pro dan kontra disebalik cadangan tersebut.

“Antara kontranya: KWSP mungkin akan berdepan kekurangan dana yang sangat besar sekiranya cadangan pengeluaran wang daripada Akaun 1 dilaksanakan dan jika keadaan itu berlaku, ia boleh menjejaskan ekonomi negara pada masa depan. Rakyat yang tidak banyak simpanan, akan terjejas kerana kurang wang persaraan untuk hari tua.

“Bagi pronya pula: membantu rakyat yang begitu terkesan dan terhimpit ekoran penularan COVID-19 dan kuasa beli rakyat dapat ditingkatkan sekali gus baik untuk kitaran ekonomi negara.

“Itu sebahagian antara pro dan kontra berhubung cadangan mengeluarkan simpanan Akaun 1 KWSP, namun kita beranggapan bahawa apa yang utama ketika ini adalah kebajikan rakyat yang terjejas teruk ekoran penularan pandemik COVID-19,” katanya lagi.

Dalam masa yang sama beliau turut memberikan maklum balas berkaitan Bajet 2021 yang akan dibentangkan oleh kerajaan pada 6 November ini (Jumaat) di Dewan Rakyat.

“Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Johor berpandangan, Bajet 2021 secara bersasar sangat sesuai untuk dilaksanakan ketika ini terutama bagi golongan yang mudah terkesan.

“Bajet bersasar ini penting bagi memastikan kitaran ekonomi negara akan dapat berfungsi melibatkan pelbagai pihak dan pelbagai lapisan.

“Kita dapat lihat bagaimana pelbagai bantuan sokongan seperti dahulunya dikenali Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), sekarang ditukar namanya kepada Bantuan Prihatin Nasional (BPN) dan Bantuan Sara Hidup (BSH) dapat membantu menggerakkan ekonomi negara.”

Selain itu, jelasnya, tumpuan Bajet 2021 tentunya perlu dipertingkatkan dari aspek penyelidikan dan pembangunan (R&D) vaksin Covid-19 dan peruntukan bagi membantu golongan terkesan khususnya petugas barisan hadapan.

“Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Johor mencadangkan supaya setiap kerajaan negeri diberikan geran atau peruntukan yang besar oleh kerajaan pusat untuk membantu menangani kesan COVID-19. Ia seperti bantuan terus dari kerajaan untuk menaik taraf hospital bagi memastikan semua hospital mempunyai unit baru atau bangunan baru iaitu wad khas COVID-19 dan saringan percuma kepada semua masyarakat yang ingin membuat ‘swab test’.

“Apa yang penting adalah, Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Johor berharap Bajet 2021 lebih kepada bajet untuk rakyat bukan demi populariti.” – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.