Malaysia Negara Demokrasi Yang Berfungsi Dengan Baik – Mohamad

KUALA LUMPUR, 1 Nov – Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan berkata beliau memahami kebimbangan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin tentang pengendalian Pilihanraya Kecil (PRK) Batu Sapi dan Pilihanraya Negeri (PRN) Sarawak dalam situasi Malaysia masih berdepan dengan suasana pandemik.

Namun katanya memohon perisytiharan darurat sebagai alasan dan cara untuk menangguhkan keduanya bukan sahaja tidak perlu tetapi bukan jalan terbaik.

“Umum mengetahui bahawa Barisan Nasional (BN) tidak akan bertanding di Batu Sapi dan gesaan saya ialah parti-parti lain juga memberikan laluan kepada Warisan bagi bertanding di Parlimen Batu Sapi tanpa di cabar. Ini sebagai menghormati mendiang Datuk V. K Liew, bekas Ahli Parlimen Batu Sapi dan mengelakkan pilihanraya kecil diadakan waktu ini.

“Jika persefahaman sebegini boleh diusahakan, maka kita boleh memberi laluan kepada Warisan dalam PRK Batu Sapi sebagai permuafakatan nasional mengurangkan impak wabak korona kepada masyarakat. Jika ini berlaku, PRK Batu Sapi tidak diperlukan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Mohamad seterusnya menambah untuk PRN Sarawak, tempoh matang DUN Sarawak ialah 7 Jun 2020 dan jika Kerajaan Negeri berkhidmat sehingga tamat tempoh tersebut, PRN akan diadakan 60 hari dari 7 Jun 2020 dan ini membolehkan PRN Sarawak diadakan dalam bulan Ogos 2021.

“Bayangkan implikasi darurat jika diisytiharkan, hanya untuk mengelakkan PRN Sarawak sedangkan ia boleh diadakan paling lewat 10 bulan akan datang.

“Saya sangat meyakini kebijaksanaan Ketua Menteri Sarawak dan pastinya beliau akan membuat keputusan terbaik dengan mengambilkira pelbagai dimensi kepentingan umum sebelum membubarkan DUN Sarawak,” katanya.

Kata Mohamad lagi, Malaysia mempunyai Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) yang bebas dan mampu mengendalikan pilihanraya dalam keadaan apa sekalipun sesuai keperluan Perlembagaan. Adalah untuk SPR membuat keputusan bagaimana ia akan mengendalikan pilihanraya dengan protokal kesihatan sewaktu pandemik. SPR berwibawa memastikan proses demokrasi berjalan dengan sebaiknya.

“Malaysia adalah sebuah demokrasi yang berfungsi dengan baik dan ia mesti terus berfungsi dalam keadaaan paling getir sekalipun. Justeru semua pihak mesti menghormati kearifan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong untuk menolak darurat, mempertahankan Perlembagaan dan mengiktiraf pencapaian baik Kerajaan mengawal pandemik waktu ini,” ujarnya – UMNO Online.

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.