Lanjutan Moratorium Antara Cadangan Kepada Tengku Zafrul –Asyraf Wajdi

KUALA LUMPUR, 1 Nov – Pelbagai cadangan termasuklah beberapa perkara utama dikemukakan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki pada perjumpaan bersama Menteri Kewangan, Datuk Tengku Zafrul Tengku Aziz menjelang pembentangan belanjawan 2021.

Merungkai pertemuan berkenaan, Asyraf seterusnya berkata Menteri Kewangan dilihat positif dan seterusnya turut memberi jaminan untuk meneliti perkara yang dibangkitkan.

“Pada hari ini kita mengadakan perbincangan dan menyampaikan terus Memorandum suara hati rakyat terhadap Belanjawan Negara 2021 kepada Menteri Kewangan Datuk Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz.

“Beliau kelihatan cukup positif dan memberikan jaminan untuk mengambil serius apa yang dibangkitkan kerana semuanya menyentuh soal realiti kesempitan dan kesusahan rakyat ketika ini termasuk isu KWSP, lanjutan moratorium, pembuangan kerja dan belia menganggur,” katanya menerusi catatan di Facebook.

Berikut antara 10 cadangan utama untuk memastikan peningkatan Aliran Tunai rakyat yang mampu menggalakkan pertumbuhan ekonomi di kala negara berhadapan dengan krisis Pandemik COVID-19 termasuklah:

1. Lanjutan tempoh morotarium secara pukal untuk sekurang-kurangnya dalam tempoh 3-6 bulan lagi.
2. Memberi kebenaran untuk pengeluaran Akaun 1 KWSP sekurang-kurangnya RM5000
3. Yuran percuma kepada para pelajar Universiti Awam oleh kerana tiada sesi pengajaran dan pembelajaran di kampus Universiti.
4. Bantuan Bulanan E-Wallet sebanyak RM50 sebulan selama 12 bulan kepada pelajar Universiti Awam dan Swasta untuk pembelian data telefon mudah alih bagi tujuan pembelajaran secara dalam talian (on-line)
5. Bayaran khas sekurang-kurangnya RM500 kepada ibu-bapa bagi meringankan perbelanjaan sesi persekolahan tahun 2021.
6. Melanjutkan tempoh penangguhan bayaran balik pinjaman PTPTN hingga Disember 2021. Cash rebate sebanyak 30 peratus bagi peminjam PTPTN yang terus membayar pinjaman sepanjang wabak COVID 19.
7. Melonggarkan syarat pinjaman serta memudahkan proses pinjaman perniagaan di Tekun Nasional, Amanah Ikhtiar Malaysia, SME Corp atau mana-mana agensi berkaitan untuk peniaga kecil dan sederhana (PKS). Kerajaan disarankan untuk memberi bantuan geran RM 5000 kepada syarikat yang berkelayakan melalui Geran Khas Prihatin Perniagaan (GKP).
8. Insentif subsidi upah RM600 sebulan selama 12 bulan kepada syarikat yang menggaji graduan dan belia yang di ambil bekerja.
9. Meningkatkan geran reskilling kepada pekerja sektor pelancongan (perhotelan, penerbangan, dll) untuk membantu mendapat pekerjaaan sektor lain.
10. Bayaran khas bulanan kepada Penjawat Awam Barisan Hadapan (frontliners) sehingga berakhirnya pendamik COVID-19 atau berada di tahap minimum.

Turut hadir pada perbincangan Memorandum suara hati rakyat terhadap Belanjawan Negara 2021, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Tan Sri Noh Omar dan Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.