Belanjawan 2021 : Utamakan Suntikan Fiskal Dan Semangat Bipartisan – Shahril

KUALA LUMPUR, 1 Nov – Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan melihat perbahasan mengenai Belanjawan 2021 baik di luar dewan serta di dalam dewan pada minggu depan pasti rancak dan ianya merupakan satu perkembangan yang positif.

Menurut beliau meskipun di kalangan Ahli Dewan Rakyat wujud kesediaan meluluskan Belanjawan, perinciannya mesti dibahas sebaiknya.

“Belanjawan 2021 wajib bersifat suntikan fiskal yang besar untuk membantu kebajikan dan aliran tunai rakyat, sepertimana digambarkan Timbalan Presiden UMNO.Idea pengeluaran KWSP dan sebagainya mungkin satu pilihan tapi bagi saya ia bukan pilihan pertama andaikata kerajaan sedia membantu dengan dana.

“Tanpa terlalu teknikal dalam posting ringkas ini, pemahaman ekonomi saya adalah kerajaan Malaysia ada duit. Soalnya hendak atau tidak hendak sahaja menggunakan instrumen untuk berbelanja demi rakyat, tanpa boros.,” katanya menerusi catatan di Facebook.

Dalam erti kata lain, tambah Shahril lagi kalau isunya memberi wang kepada rakyat yang tertekan sekarang ini, lebih baik kerajaan belanja dan beri duit, bukan bergantung kepada duit persaraan rakyat.

“Apapun, perbahasan berkenaan Belanjawan di dalam dan luar Dewan pasti rancak… Alhamdulillah satu perkembangan positif setelah beberapa minggu polemik yang meningkatkan suhu politik,” ujarnya.

Hari ini, pada pukul 3.00 petang Shahril akan mengupas menjelang Bajet 2021 bersama panelis lain menerusi saluran 501 Astro Awani.

Ianya antara lain bakal membincangkan semangat silang parti atau bipartisanship terutamanya dikalangan golongan muda politik yang mahu kematangan dan budaya baharu meletakkan rakyat di hadapan. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.