Kerajaan Wajar Pertimbang Semula Benarkan Pengeluaran Akaun 1 KWSP – Asyraf Wajdi

KUALA LUMPUR, 31 Okt – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mengharapkan agar Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mempertimbangkan semula harapan dan hasrat rakyat agar dapat mengeluarkan simpanan daripada akaun satu Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Katanya, pengeluaran caruman ini dapat meringankan beban rakyat di masa pandemik COVID- 19 dan secara tidak langsung dapat memberi kelangsungan hidup pencarum.

“Mohon YAB Perdana Menteri dapat pertimbangkan semula harapan dan hasrat rakyat yang amat berharap dapat mengeluarkan simpanan dan caruman mereka dalam Akaun 1 KWSP sekurang-kurangnya RM5,000 dan boleh ditetapkan had pada RM10,000.

“Hakikatnya, rata-rata rakyat merintih dan menyampaikan keluhan dan keresahan mereka betapa perit dan sempitnya kehidupan di tengah-tengah COVID-19 yang memberi kesan langsung terhadap kelangsungan hidup ketika ini,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

Justeru,tambah Asyraf lagi, Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia akan sampaikan secara rasmi harapan rakyat kepada Menteri Kewangan dalam masa terdekat.

“Cadangan kami berikan kelonggaran pengeluaran hanya ketika rakyat dihimpit kesusahan ketika ini. Pengeluaran juga boleh dibenarkan secara beransur-ansur tidak sekaligus. Apabila situasi kembali pulih, pencarum boleh kembali digalakkan untuk menambah semula caruman mereka,” ujarnya.

Menerusi catatannya itu juga Asyraf mengajak mereka yang bersetuju dengan cadangan tersebut agar berkongai pandangan di dalam ruangan komen.

“Siapa setuju, nyatakan dan kongsikan pandangan anda di sini,” ujarnya – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.