Kerajaan Digesa Benarkan Rakyat Keluarkan Wang KWSP Demi Kelangsungan Hidup

KUBANG PASU, 31 Okt – Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia Hasmuni Hassan berkata, Kerajaan perlu menimbang dengan wajar bagi membenarkan pencarum KWSP mengeluarkan wang simpanan mereka sama ada dalam akaun satu atau akaun dua.

Ujar beliau, kerajaan tidak mungkin berterusan memberi Bantuan Prihatin Nasional (BPN) maka membenarkan rakyat membuat pengeluran KWSP secara tidak langsung dapat membantu kewangan negara.

“Kita faham bahawa jumlah itu sangat besar. Besar lagi kesannya kepada KWSP jika hampir semua pencarum mengeluarkan simpanan dalam jumlah sama pada satu-satu masa. Kita juga faham bahawa kerajaan tidak boleh berterusan memberikan BPN bagi menampung kesusahan dan keperitan yang di alami rakyat ketika ini.

“Namun, kerajaan juga tidak boleh mengelak daripada persepsi ‘kenapa Air Asia boleh dibantu dengan RM1 bilion pinjaman sedangkan rakyat tidak dibenarkan mengeluarkan simpanan sendiri’. Jadi, tidak ada salahnya rakyat menggunakan wang sendiri di waktu memerlukan iaitu di kala ekonomi rakyat dihimpit akibat daripada COVID-19,” ujar beliau kepada UMNO-Online.

Tambah Hasmuni yang juga merupakan Ketua Pemuda UMNO bahagian Kubang Pasu, rakyat akan mula berfikiran negatif akibat daripada tindakan kerajaan memberikan pinjaman kepada Air Asia sedangkan rakyat tidak dibenarkan mengggunakan simpan mereka sendiri.

“Betul, kita juga faham ‘ada kehidupan’ di Air Asia, mereka juga ramai pekerja yang jika mereka lingkup, lebih ramai lagi yang kehilangan sumber pendapatan. Namun, tidak semua rakyat terbang dengan Air Asia. Ramai yang tidak pernah terbang dan ramai juga yang terbang dengan penerbangan lain.

‘Kita juga faham bahawa rakyat tidak seharusnya mengeluarkan wang simpanan mereka secara sewenang-wenangnya tapi kini rakyat benar-benar memerlukan dan tidak ada salahnya rakyat henya membenarkan mereka yang layak untuk membuat pengeluaran.

“Mungkin juga kerajaan boleh mengehadkan pengeluaran dalam jumlah yang tidak besar dan dihadkan. Pengeluaran pula boleh dilakukan beberapa kali umpamanya,” cadang beliau.

Maka dengan ini ulas beliau, beban KWSP tidaklah besar di mana asas penolakan idea ini kerana dibimbangi KWSP terpaksa menjual aset bagi menampung jumlah sekitar RM45.7 bilion jika semua pencarum melakukan pengeluaran sehingga RM10,000.

“Ini adalah harapan dan hasrat rakyat yang mana mereka mungkin dapat memulihkan semula kehidupan mereka yang susah dan perit. COVID-19 telah mengubah pelbagai sudut kehidupan kita.

“Di luar sana, virus itu masih bertebaran dan menjadi musuh utama kita. Jika rakyat diminta terus berada di rumah, maka mereka wajar dibantu untuk duduk di rumah.

“Kerajaan wajar menimbang dengan wajar supaya membenarkan rakyat memilih mengeluarkan wang simpanan mereka dengan had dan peraturan yang tertentu,” tegas beliau.

Terdahulu Najib Razak telah mencadangkan supaya pencarum dibenarkan mengeluarkan simpanan dari Akaun 1 KWSP mereka secara one off sehingga RM10,000. – UMNO ONLINE

Oleh: Azlina Rosdy

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.