Kebajikan Rakyat, Keamanan Negara Dan Kestabilan Politik Jadi Prioriti UMNO – Rosni

KUALA LUMPUR, 31 Okt – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Malaysia, Datuk Rosni Sohar menyatakan sokongan ke atas pendirian parti untuk terus mendukung gencatan politik dan Rekonsiliasi Nasional dalam keadaan negara masih dilanda ujian hebat pandemik COVID-19.

Ini kerana katanya, saban hari, kegusaran dan kebimbangan rakyat terus dinyatakan melalui semua platform media sosial yang benar-benar menyatakan realiti kehidupan rakyat yang memerlukan sebuah kerajaan yang kukuh dalam mengemudi pentadbiran negara.

“Fokus semua pihak termasuk kepimpinan parti politik pada hari ini perlu diberikan kepada isu-isu kebajikan rakyat di dalam Belanjawan Negara 2021 akan datang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelasnya, pandangan dan cadangan membina perlu diberikan oleh semua pihak terutama dalam isu penyambungan moratorium, pengeluaran KWSP, pengecualian cukai, pemberian insentif dan bantuan sara hidup amat perlu dikaji dan direalisasikan dengan segera demi membangunkan semula ekonomi negara.

“Pengurangan birokrasi dan prosedur yang membebankan boleh dipertimbangkan oleh semua agensi yang terlibat di dalam Belanjawan Negara 2021 ini.

“Tidak dapat dinafikan bahawa wanita adalah pembayar hutang yang terbaik dan saya menyeru kepada pihak kerajaan agar mempermudahkan pemberian insentif atau bantuan kewangan kepada usahawan-usahawan PKS dan IKS wanita yang memerlukan sokongan perniagaan.”

Katanya yang juga Setiausaha Wanita UMNO Malaysia, ini penting dalam memastikan wanita dapat turut sama membantu menjaga keperluan keluarga selain menyokong perkembangan ekonomi negara.

“Selain itu, sebagai ahli parti, saya juga ingin mengajak semua ahli UMNO di semua peringkat agar kita sama-sama terus istiqamah dengan ujian yang melanda ini kerana perjuangan kita dalam parti merupakan ibadah demi menentukan kebajikan rakyat terus diperkasa dengan kestabilan politik yang dapat membawa kepada keamanan negara untuk semua,” katanya yang juga Ketua Wanita UMNO Negeri Selangor.

Terdahulu Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan keputusan Mesyuarat Ahli Majlis Kerja Tertinggi baru-baru ini untuk UMNO terus kekal fokus dan konsisten dengan kenyataan yang dikeluarkan sebelum ini iaitu berpegang teguh kepada peri pentingnya gencatan politik dan rekonsiliasi nasional demi mendepani wabak COVID-19, menjaga kebajikan rakyat, keamanan negara dan kestabilan politik. – UMNO Online