Golongan Muda Khususnya Wanita Muda Harus Diberikan Penekanan Dalam Bajet 2021

KUALA LANGAT, 31 Okt – Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Kuala Langat mencadangkan agar Bajet 2021 yang akan dibentangkan tidak lama lagi memberi penekanan kepada golongan belia dan khususnya wanita muda.
Asuma Mohamed Sali
Justeru ketuanya, Asuma Mohamed Sali menyenaraikan beberapa saranan yang boleh diambil kira dalam merangka Bajet 2021.

“Selaku suara anak muda, saya amat berharap agar kepentingan anak muda turut mendapat perhatian dalam pembetangan Bajet 2021 nanti.

“Antara yang saya rasakan boleh dimasukkan dalam Bajet 2021 adalah penyambungan moratorium selama enam bulan lagi. Ini berikutan pandemik COVID-19 masih berada di luar kawalan dan semua industri masih belum mampu beroperasi sepenuhnya. Kewangan rakyat masih lagi belum stabil dan memerlukan ‘cash-in-hand’ untuk terus bertahan sehingga keadaan kembali stabil.

“Kesan gelombang pandemik COVID-19 yang pertama telah mengakibatkan ramai pekerja daripada golongan wanita yang dibuang kerja dan menganggur. Oleh itu, bajet khas khusus untuk pembangunan wanita seperti latihan jangka masa singkat untuk memulakan perniagaan atas talian (online) dan kecil-kecilan perlu diberi perhatian segera. Ini bagi membantu mereka mencari sumber kewangan alternatif untuk meneruskan kehidupan.

“Selain itu, golongan wanita yang berkerja juga sering terbeban dengan kos menghantar anak ke pusat asuhan dengan kadar yang tinggi. Pusat asuhan kanak-kanak komuniti perlu diwujudkan di setiap kawasan dengan kadar yang lebih rendah. Ini secara tidak langsung akan membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada golongan wanita yang tidak bekerja untuk berkhidmat di pusat asuhan kanak-kanak komuniti dan menggalakkan lebih ramai wanita untuk keluar berkerja atau meniaga kerana isu penjagaan anak telah selesai. Kadar yang rendah juga akan membantu meringankan beban yang ditanggung oleh pasangan muda,” ujar beliau kepada UMNO-Online.

Mengulas lebih lanjut Asuma berkata, peniaga-peniaga muda (bawah 40 tahun) juga harus di beri bantuan perniagaan untuk terus bertahan di dalam keadaan pandemik hari ini.

“Bantuan ‘one-off’ ini seharusnya diberi kepada semua pemilik perniagaan golongan muda (bawah 40 tahun). Bantuan ini diharap dapat membantu mereka mengekalkan pekerja sedia ada, mengurus stok dan mengawal aliran tunai dalam melalui keadaan ekonomi yang semakin meruncing hari ini.

“Selain itu, rebat utiliti (air, elektrik dan internet) boleh diberikan agar ia dapat meringankan beban seisi keluarga yang terpaksa berkerja dari rumah dan golongan yang menjalankan perniagaan online dari rumah. Rebat ini selain menggalakkan mereka duduk di rumah, akan membantu menjana ekonomi negara dengan kuasa membeli yang lebih tinggi,” ujar beliau lagi. – UMNO ONLINE

Oleh: Azlina Rosdy

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.