Rekonsiliasi Nasional: Keputusan UMNO Tepat… Harus Diterjemah Untuk Rakyat Rasai

JELUTONG, 30 Okt – Ketua UMNO bahagian Jelutong Datuk Razak Abdul Rahman berkata, keputusan Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, malam tadi untuk terus kekal fokus dan konsisten dengan kenyataan yang dikeluarkan sebelum ini iaitu berpegang teguh kepada pentingnya gencatan politik dan rekonsiliasi nasional demi mendepani wabak COVID-19, menjaga kebajikan rakyat, keamanan negara dan kestabilan politik adalah satu keputusan yang tepat.

Namun begitu jelas beliau, keputusan tersebut harus diterjemahkan dalam bentuk ‘fizikal’ agar rakyat dapat merasai bahawa UMNO adalah sebuah parti yang ‘walk the talk’.

“Kita harus ingat, kekalahan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) adalah kerana persepsi, jadi kita tidak boleh memberi ruang kepada musuh untuk mencipta persepsi baru sehingga berulangnya tragedi PRU-14.

“Kita harus menterjemahkan apa yang kita kata sehingga rakyat dapat merasainya dan tidak akan mempercayai persepsi yang dimainkan oleh pihak lawan,” ujar beliau kepada UMNO-Online.

Tambah Razak, UMNO juga harus meminumkan seboleh mungkin masalah dalaman demi menempa kejayaan dalam PRU-15 nanti.

“Mahu tidak mahu sekarang ini kita harus menerima hakikat bahawa orang luar semakin bercakap mengenai masalah dalaman UMNO. Walaupun pada hakikatnya semua itu boleh diatasi dengan baik tetapi musuh akan sentiasa membesarkan isu yang ada untuk meroboh dan merosakkan ‘rumahtangga’ kita.

“Sebab itu kita tidak boleh ‘over confident’. Kita harus sentiasa memperbaiki keadaan dan semua pemimpin harus berjiwa besar sekiranya kita benar-benar mahu menang dalam PRU akan datang.

“Rakyat sekarang ini sedang menilai dan memerhati. Jika kita salah langkah maka peluang untuk menang semakin tipis. Mahu tidak mahu, keyakinan rakyat harus kita perolehi. Walaupun kita bersetuju untuk gencatan politik, tetapi itu tidak bermakna kita juga harus berhenti memperkukuhkan parti dan meraih kepercayaan rakyat kepada parti keramat ini,” tegas beliau lagi. – UMNO ONLINE

Oleh: Azlina Rosdy

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.