Langkah Ke Arah Rekonsiliasi Perlu Dijayakan Semua Pihak – Pemuda Pahang

KUALA LUMPUR, 30 Okt – Keputusan yang diambil oleh pucuk pimpinan UMNO yang menyeru agar parti-parti politik masing-masing menjayakan usaha ke arah rekonsiliasi dalam keadaan negara hari ini yang berdepan dengan pandemik COVID-19 adalah satu keputusan yang terbaik demi kepentingan negara dan rakyat.

Bagi Pemuda UMNO Pahang usaha berkenaan harus dijayakan tanpa ada agenda yang tersembunyi antara satu dengan yang lain sebaliknya sama-sama melihat ke depan untuk kepentingan bersama.

Menurut Ketuanya Mohd Farid Mohd Noor ahli parti pelbagai peringkat juga harus mengambil perhatian dan tumpuan yang serius agar apa yang diputuskan oleh kepimpinan parti dapat direalisasikan.

“Langkah Majlis Kerja Teringgi UMNO (MKT) yang menyeru semua parti politik untuk berdamai dan mengisytiharkan gencatan politik adalah satu keputusan yang wajar disambut dengan baik oleh semua pihak khususnya ahli-ahli UMNO.

“Dalam saat rakyat berhadapan dengan penularan wabak COVID-19 serta dituruti dengan kemelesetan ekonomi, keputusan ini menandakan bahawa UMNO sangat-sangat mementingkan nasib rakyat,” katanya kepada UMNO Online di sini hari ini.

Tambah Mohd Farid lagi saat ini adalah penting untuk semua pihak bagi memastikan Belanjawan 2021 yang bakal dibentang dan akhirnya dapat diluluskan untuk kepentingan rakyat itu sendiri.

“Kepentingan parti politik harus diketepikan. Inilah masanya untuk semua pihak berganding bahu dengan masing-masing mengambil pendekatan yang sama sepertimana yang diputuskan oleh UMNO. Sama-Sama kita jayakan rekonsiliasi,” ujarnya.

Sebelum ini, Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mempengerusikan Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO memaklumkan bahawa ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO telah memutuskan beberapa perkara.

Antaranya mengekalkan keputusan terdahulu tanpa kerjasama PKR dan Dap serta Ahli-ahli Parlimen UMNO akan terus mendokong Kerajaan Perikatan Nasional.

Begitu juga kata Ahmad Zahid, UMNO menggesa ditambah baik prinsip kerjasama yang harus berpaksikan nilai penghormatan dan ‘political consensus’ serta dilaksanakan inisiatif Rekonsiliasi Nasional.

Selain itu, UMNO menjunjung kasih di atas titah Yang di-Pertuan Agong menolak permohonan yang dipersembahkan oleh kerajaan bagi maksud pelaksanaan Darurat Perkara 150(1) dan Pemasyhuran Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu 2020) menurut Perkara 150(2B) Perlembagaan Persekutuan dan menggesa gencatan politik bagi memastikan kestabilan politik negara dapat terus dipertahankan. – UMNO Online

Oleh: Azman Abas

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.