Keputusan MT: UMNO Utamakan Kesihatan Dan Kebajikan Rakyat – Tajuddin

KUALA LUMPUR, 28 Okt – UMNO Bahagian Sik melihat keputusan yang diambil oleh pimpinan parti menerusi ketetapan yang dibuat menerusi Majlis Kerja Tertinggi UMNO memperlihatkan rakyat menjadi pertimbangan utama setelah mengambil kira pelbagai aspek khususnya dalam keadaan negara dilanda COVID-19.

Ketuanya Datuk Tajuddin Abdullah berkata secara tidak langsung parti tersebut mengutamakan kesihatan dan kebajikan rakyat yang hari ini rata-rata merasai cabaran ekonomi dari pelbagai peringkat di akar umbi.

Menurut beliau dengan apa yang diputuskan itu, barisan kepimpinan parti pelbagai peringkat termasuklah dengan pihak yang lain seharusnya sama-sama bersatu hati dan bersatu tenaga dalam membantu rakyat yang cukup terkesan hari ini.

“Hari ini kita dapat lihat bagaimana kesan pandemik COVID-19 yang menyebabkan rakyat merasai kesannya…ada yang kehilangan pekerjaan…ada yang berniaga terpaksa mencari pendapatan lain dan sebagainya lagi setelah perniagaan mereka terjejas. Begitu juga kelompok yang lain.

“Tambahan pula dengan senario COVID-19 yang masih terus melanda beberapa negeri sudah pastilah itu antara perkara utama yang dilihat oleh pucuk pimpinan dalam mengambil kepeutusan yang cukup penting. Jika masih berterusan dengan polemik dan sebagainya rakyat sudah pastilah gusar dan negara juga akan menerima tempiasnya.

“Alhamdulillah UMNO Bahagian Sik khususnya akan terus ke depan dalam melaksanakan tanggungjawab sebaik mungkin dan kita tidak akan menoleh ke belakang. Rakyat adalah keutamaan kami,” katanya kepada UMNO-Online, di sini, hari ini.

Sebelum ini, Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mempengerusikan Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO memaklumkan bahawa ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO telah memutuskan beberapa perkara.

Antaranya mengekalkan keputusan terdahulu tanpa kerjasama PKR dan Dap serta Ahli-ahli Parlimen UMNO akan terus mendokong Kerajaan Perikatan Nasional.

Begitu juga kata Ahmad Zahid, UMNO menggesa ditambah baik prinsip kerjasama yang harus berpaksikan nilai penghormatan dan ‘political consensus’ serta dilaksanakan inisiatif Rekonsiliasi Nasional.

Selain itu, UMNO menjunjung kasih di atas titah Yang di-Pertuan Agong menolak permohonan yang dipersembahkan oleh kerajaan bagi maksud pelaksanaan Darurat Perkara 150(1) dan Pemasyhuran Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu 2020) menurut Perkara 150(2B) Perlembagaan Persekutuan dan menggesa gencatan politik bagi memastikan kestabilan politik negara dapat terus dipertahankan.

Tajuddin yang juga bekas Exco Kerajaan Negeri Kedah seterusnya menambah rekonsiliasi yang diutarakan oleh pimpinan parti juga seharusnya disahut oleh semua parti-parti politik tanpa memikirkan kepentingan dan agenda masing-masing.

Ini kerana katanya inilah masa yang memerlukan komitmen dan dengan lapang dada pelbagai pihak untuk sama-sama menggembleng tenaga demi negara dan seluruh rakyat.

“Ketepikan dahulu sementara waktu soal perbezaan politik. Kita bersama-sama membantu rakyat yang hari ini tengah susah….memerlukan perhatian dan memerlukan tumpuan daripada kerajaan dan pelbagai pihak. Insya Allah kita bersama-sama membantu sedaya upaya dan terus bergerak ke depan,” serunya. – UMNO ONLINE

Oleh: Azman Abas

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.