Bantuan Kewangan Tambahan, Pulihkan Ekonomi Dengan Haja Tuju Yang Jelas Dan Dinamik – Mohamad

KUALA LUMPUR, 28 Okt – Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berharap kerajaan akan mempertimbangkan bantuan kewangan tambahan kepada golongan B40 dan M40 yang semakin terbeban, terutamanya di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Kata Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu, pakej rangsangan ekonomi negara sebelum ini terbukti berjaya meringankan beban rakyat dan menjamin aliran tunai perniagaan, namun telah berakhir pada masa yang genting ini.

“Inisiatif Program PENJANA juga perlu dilanjutkan terutamanya untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) demi mengekalkan pekerja dan mengelakkan peningkatan kadar pengangguran,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohamad berkata demikian merujuk kepada laporan terbaharu dari Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) yang telah menurunkan unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebenar tahun 2020 kepada -5.5 peratus.

Tambahnya, penurunan unjuran itu adalah berdasarkan kepada penurunan besar kadar pertumbuhan ekonomi dalam suku kedua pada -17.1 peratus, lonjakan semula kes COVID-19 dan pelaksanaan kembali PKPB serta tiadanya langkah-langkah mitigasi tambahan kerajaan pada suku sebelumnya, terutamanya bagi PKS.

Begitu juga katanya, gelombang ketiga COVID-19 kini dijangkakan akan melambatkan pemulihan ekonomi negara hingga ke suku pertama 2021.

“Justeru, saya berharap Kerajaan Malaysia akan meningkatkan usaha memulihkan ekonomi dengan hala tuju ekonomi yang jelas dan dinamik.

“Kita tidak boleh melengahkan masa dengan persoalan pertumbuhan ekonomi. Vietnam dijangka akan memintas negara Malaysia pada tahun 2020 untuk menjadi ekonomi keempat terbesar di Asia Tenggara, di samping menjadi antara negara yang terbaik di rantau ini untuk pelaburan.

“Usaha mesti digiatkan untuk mempercepatkan ‘economic recovery and reseting’ dengan membenarkan demokrasi berfungsi, pelaburan terpilih diberikan insentif khas, sempadan dibuka dengan protokol kesihatan yang ketat dan syarat melakukan perniagaan dipermudahkan lagi,” sarannya lagi.

Manakala seterusnya tambah bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu lagi, keyakinan perniagaan dan daya tarikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan bergantung besar kepada konsistensi dan kejelasan polisi sedia ada.

“Setiap polisi dan dasar kerajaan dalam memerangi pandemik ini perlu wajar, berasaskan bukti saintifik, mengambil kira kepentingan awam dan tidak mengelirukan.

“Maka, saya berharap Kerajaan Malaysia mempertimbangkan pembentukan sistem amaran berperingkat yang lengkap dan konsisten sebagai pengganti pengumuman pengubahsuaian SOP (prosedur operasi standard) pada saat terakhir,” ujarnya.

Jelasnya lagi, sistem amaran berperingkat seperti yang dijalankan di beberapa negara lain akan memaparkan perbezaan tahap kecemasan dalam krisis COVID-19 berasaskan nombor pembiakan virus dan jumlah kes yang disahkan.

“Setiap peringkat amaran ini mempunyai protokol dan sekatan yang tetap dan tidak akan diubahsuai sewenang-wenangnya, terutamanya dari segi SOP di tempat kerja.

“Protokol yang ditetapkan juga mestilah melalui proses rundingan dengan pihak berkepentingan dengan mengambil kira keseimbangan antara kelestarian perniagaan dan kesihatan pekerja,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau itu.

Justeru Mohamad mengulangi pendiriannya bahawa pandemik COVID-19 hanya akan dapat diatasi dengan pendekatan saintifik, pemulihan ekonomi dan kepatuhan kepada perlembagaan negara. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.